Dagangan barang kemas Malaysia cecah RM22.46 bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan barang kemas Malaysia melonjak 22.5 peratus kepada RM22.46 bilion pada 2025, sekali gus mencatat prestasi tertinggi dalam sejarah industri tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pemecutan Eksport Matrade, S. Jai Shankar berkata, peningkatan itu didorong prestasi eksport dan import yang kukuh, mencerminkan daya tahan serta daya saing industri barang kemas Malaysia di tengah-tengah cabaran ekonomi global.

“Eksport barang kemas meningkat 9.3 peratus kepada RM10.1 bilion pada tahun lalu, dengan barang perhiasan diri menyumbang bahagian terbesar sebanyak 85.5 peratus.

“Dalam tempoh sama, import pula melonjak 35.8 peratus kepada RM12.3 bilion, menunjukkan permintaan domestik yang rancak selain mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan runcit global,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pelancaran Festival Emas Malaysia (MGF) di sini semalam.

Shankar berkata, berhubung perkembangan industri itu, prestasi eksport Malaysia terus disokong rakan dagang antarabangsa yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap kualiti dan keupayaan pengeluar tempatan.

Ujarnya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi destinasi eksport terbesar dengan nilai RM3.4 bilion atau 33.9 peratus, diikuti Singapura sebanyak RM3.1 bilion (30.2 peratus), Thailand RM1.1 bilion (10.7 peratus), Australia RM700 juta (6.8 peratus) dan Hong Kong RM600 juta (6.2 peratus).

“Momentum pertumbuhan itu turut berterusan memasuki 2026 apabila jumlah dagangan barang kemas bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 meningkat 10 peratus kepada RM12.13 bilion.

“Prestasi berkenaan mencerminkan kekuatan pengeluar, keupayaan pedagang menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran serta peningkatan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam perdagangan barang kemas.

“Industri barang kemas negara turut disokong ekosistem yang merangkumi tenaga mahir, pengilang, artisan serta rakan pembiayaan mikro, dengan standard emas 916 menjadi antara kekuatan utama industri,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Pulau Pinang dan Lembah Klang menjadi hab utama pengeluaran barang kemas emas negara, yang secara bersama menyumbang lebih 80 peratus pengeluaran barang kemas emas Malaysia.

“Keunikan industri tempatan turut terletak pada gabungan teknologi moden dengan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

“Penggunaan teknologi seperti ukiran tiga dimensi (3D) digabungkan dengan elemen budaya Melayu, simbolik masyarakat Cina, motif India serta reka bentuk minimalis moden bagi menghasilkan produk yang mempunyai identiti tersendiri.

“Malaysia juga mempunyai sejarah kukuh sebagai pengeksport barang kemas di peringkat global, selain mengekalkan kedudukan sebagai antara pemain utama industri emas di rantau ASEAN,” katanya.

Menurutnya, lebih daripada kekuatan ekonomi, emas dan barang kemas Malaysia turut mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana sering dikaitkan dengan perkahwinan, detik penting kehidupan serta warisan keluarga yang diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

“Dalam usaha memperkukuh kedudukan industri di pasaran global, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus menyediakan sokongan kepada pengeksport tempatan menerusi program pembangunan keupayaan dan fasilitasi eksport.

“Antara inisiatif yang dimanfaatkan industri ialah Madani Digital Trade Platform (MDTP), program latihan kesiapsiagaan eksport khusus serta  Geran Pembangunan Pasaran (MDG).

“Matrade turut menghubungkan pemain industri tempatan dengan pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam pameran perdagangan utama dunia selain memanfaatkan rangkaian 47 pejabat luar negara.

“Rangkaian itu berperanan sebagai penghubung kepada pembeli asing bernilai tinggi, selain menyediakan maklumat pasaran semasa bagi membantu syarikat tempatan membuat keputusan pengembangan pasaran,” katanya. –UTUSAN

Scroll to Top