syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, 44, terus mengunci mulut dan tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai dakwaan dia menjalin hubungan cinta dengan komposer dan penyanyi popular, Hael Husaini.
Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ketika ditemui di sidang media persembahan eksklusif Janji With Dayang hanya memberi jawapan ringkas kepada wakil media.
“Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Sebelum ini, Hael menafikan dakwaan sudah bertunang dengan Dayang seperti yang hangat diperkatakan dalam media sosial.
Hael dilaporkan berkata, gosip atau berita disebarkan sama sekali tidak datang daripada dirinya.
Dayang berkata, dia lebih selesa berbicara mengenai sokongan peminat serta persiapan persembahan, tanpa mengulas lanjut mengenai kehadiran ‘teman istimewa’ seperti yang sering diperkatakan.
“Orang yang bermakna buat saya adalah peminat saya sendiri. Mereka mungkin tidak berada di atas pentas, tetapi mereka hadir di bawah, bersama-sama memberi sokongan. Mereka adalah pembakar semangat saya,” katanya.
Dayang turut menafikan akan ada penampilan kejutan atau rakan artis yang pernah berduet dengannya, sebaliknya menegaskan persembahan kali ini adalah sepenuhnya mengenai dirinya dan album Janji.
“Fokus kali ini adalah kepada album Janji. Jadi memang tidak ada kejutan seperti itu. Saya boleh nyatakan di sini, tiada kemunculan khas atau duet.
“Fokus saya adalah sepenuhnya terhadap persembahan solo ini,” katanya.
Apabila diajukan soalan mengenai kehadiran Hael dalam persembahan itu, Dayang hanya ketawa dan menjawab secara diplomatik.
“Semua artis yang datang adalah istimewa. Mereka istimewa kerana mereka hadir untuk menyokong,” katanya.
Mengenai pembabitan komposer dalam persembahan itu, Dayang berkata, pihaknya ada menjemput mereka yang terbabit dalam penghasilan album Janji.
“Siapa yang hadir, kita tunggu hari kejadian. Tapi jemputan sudah dibuat. Harap-harap mereka dapat hadir,” katanya.
Persembahan eksklusif Janji with Dayang akan berlangsung di dua lokasi iaitu Top View, The Top, Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd