Era 90-an kembali bergema

Era 90-an kembali bergema

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Sejak dari 2023 hingga kini, rasanya sudah banyak penganjuran konsert berlangsung sama ada membabitkan penyanyi tempatan dan luar negara yang didapati berjaya menarik perhatian penonton.

Malah, untuk tahun ini saja kemeriahan penganjuran konsert cukup hebat apabila kebanyakan penyanyi terbabit adalah penghibur berkumpulan popular Malaysia pada era 1990-an.

Apatah lagi, selepas kejayaan empat malam Konsert GenKRU yang dijayakan kumpulan trio adik-beradik, KRU pada 3,4,10 dan 11 Mei lalu berjaya menyemarakkan nostalgia muzik tiga dekad lalu.

Rentetan itu, ada beberapa lagi konsert membabitkan kumpulan ‘otai’ akan muncul bermula hujung Julai ini, September dan Oktober depan yang pastinya kini ditunggu-tunggu penonton.

Antaranya, Konsert Slam X Exists – Our Journey pada 26 Julai ini, diikuti WE 4U2C Live In Concert (15 September), Konsert Elite Live’25 (20 September) dan Spider Unplugged Concert (25 Oktober).

Cuma, untuk penganjuran konsert 4U2C mengundang kekecohan baru-baru ini membabitkan isu hak cipta lagu, manakala Elite pula berhadapan dakwaan harga tiket mahal.

Meskipun perlu melalui dugaan dalam perancangan konsert mereka, namun sama ada 4U2C dan Elite dilihat tetap tabah menanganinya kerana apa yang ingin dilakukan hanya untuk menghiburkan peminat.

Bagi Elite sendiri yang dianggotai Azza, Shasha, Abby, Watie dan Linda, mereka mengharapkan supaya diberi peluang untuk persembahan konsert itu kerana menyifatkan ia peluang keemasan.

Menurut Abby, Elite perlu diberikan peluang. Tetapi, sekiranya masih ada yang tidak berminat dengan persembahan nyanyian mereka nanti, tidak mengapa.

“Elite tidak akan berkecil hati kerana kami tekad mahu fokus memberi persembahan terbaik kepada peminat yang setia menyokong dari dulu sampai sekarang.

“Sesiapa tidak berminat, boleh duduk tepi. Harapan kami cuma ingin orang ramai beri ruang untuk Elite buktikan konsert ini mampu jadi pengalaman menarik,” katanya.

Apa yang diluahkan Abby itu ada betulnya kerana bukan paksaan pun kepada orang ramai untuk membeli tiket. Siapa yang berminat boleh beli jika mampu dan memang teringin menyaksikannya.

Melihat pula kepada 4U2C, siapa yang tidak ingat pada lagu Fiona. Semestinya, golongan peminat generasi ‘X’ yang ketika ini mungkin berusia pertengahan 30-an hingga 50-an cukup tahu.

Malah, 4U2C yang ditubuhkan pada 1992 dan dianggotai Datuk AC Mizal, Azam, Lan, Yan, Joe, Rin dan Adik ketika itu sangat diminati ramai dengan trademark rantai CD (cakera padat) mereka.

Jadi, apa pun isu yang timbul dan diperkatakan ramai, semoga penyelesaian terbaik buat 4U2C dan Elite, termasuk memberikan mereka peluang itu adalah perkara wajar bagi semua pihak.

Lagi pula, tidak ada isu yang berlaku tiada ‘jalan keluar’. Cuma, pada zaman teknologi seperti kemudahan media sosial yang berpengaruh besar ketika ini membuat ia menjadi hangat dalam sekelip mata.

Dalam soal ini, memberi ruang dan peluang itu sangat penting. Ditambah, industri hiburan Malaysia tidak sebesar mana. Jadi, teruskan memberi sokongan yang baik kepada penggiat seni kita.

Tujuan mereka juga untuk menghiburkan peminat. Justeru, kepada yang mungkin kurang berminat, boleh menunggu penganjuran konsert penyanyi lain yang akan datang.

Bagaimanapun, selagi ada daya beli terhadap tiket konsert, saya percaya industri hiburan Malaysia terutama bidang muzik tempatan mampu terus bergerak positif dan peminat mendapat hiburan yang diinginkan.

Sebenarnya, kalau kita amati dengan baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri hiburan Malaysia sudah menunjukkan perubahan positif yang ketara dalam pelbagai aspek merangkumi filem, drama, muzik serta penganjuran konsert.

Boleh dikatakan kejayaan ini umpama ‘dimensi baru’ industri hiburan tempatan selepas insiden malap dihadapi ketika penularan Covid-19 pada 2020 yang berlarutan beberapa tahun.

Jadi, untuk itu kita semua perlu mensyukuri seadanya tanpa perlu asyik mencari kekurangan. Sekiranya ada yang tidak kena dengan hati, luahkan mengikut cara yang betul dan tenang.

Usah membiasakan diri dengan melontar komen negatif dan berbaur kecaman kerana orang yang sopan itu pasti tahu menjaga tutur kata ingin ditulis tanpa dipengaruhi emosi.

Tepuk dada tanya selera. Kuasa di hujung jari ketika ini tidak dinafikan mampu membawa impak besar terhadap sesuatu.

Tetapi, gunakan akal fikir sihat kita sebaiknya kerana itu yang lebih baik.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top