Trump bakal hadir tonton final Piala Dunia Kelab

Trump bakal hadir tonton final Piala Dunia Kelab

New Jersey: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan hadir ke final Piala Dunia Kelab di East Rutherford, New Jersey, awal pagi Isnin ini, menurut kenyataannya dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pembukaan pejabatnya di Trump Tower, New York.

Kejohanan yang diperluas dan menampilkan banyak kelab terbaik dunia ini dilihat secara meluas sebagai percubaan awal bagi Piala Dunia 2026, yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico dengan rekod penyertaan 48 pasukan kebangsaan.

Perlawanan akhir Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, awal pagi Isnin ini akan menjadi pratonton bagi perlawanan akhir kejohanan tahun depan, dengan stadium yang juga gelanggang pasukan NFL, New York Jets dan Giants, turut dipilih sebagai lokasi perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

“Saya akan pergi ke perlawanan itu,” kata Trump kepada wartawan.

Pengumuman itu hadir sehari selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan pembukaan pejabat perwakilan FIFA di Trump Tower apabila trofi Piala Dunia Kelab akan dipamerkan sehingga hari perlawanan akhir.

“Kami menerima sokongan besar daripada kerajaan dan Presiden melalui Pasukan Petugas Rumah Putih untuk Piala Dunia Kelab FIFA (kini) dan juga untuk Piala Dunia FIFA tahun depan,” kata Infantino.

Trump tidak menjauhkan diri daripada sorotan besar dalam dunia sukan sepanjang penggal keduanya, menjadi presiden pertama yang hadir ke perlawanan Super Bowl pada Februari dan pada Mei mengumumkan Washington D C sebagai tuan rumah bagi NFL Draft 2027 dari Pejabat Oval.

Namun, tindakan kerasnya terhadap imigresen dan larangan perjalanan ke atas 12 negara menimbulkan kebimbangan menjelang Piala Dunia 2026, walaupun Infantino memberi jaminan dunia akan disambut dengan baik di AS bagi acara global empat tahun sekali itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top