Tarik semula kes lafaz rujuk, mahkamah tolak permohonan Datuk Red

Tarik semula kes lafaz rujuk, mahkamah tolak permohonan Datuk Red

RAWANG: Mahkamah Syariah Gombak Barat di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red untuk menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkannya terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi.

Peguam syarie mewakili Adnan, Muhammad Akmal Amzan berkata, mahkamah memutuskan prosiding perlu diteruskan bagi mendengar keterangan kedua-dua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung permohonan tersebut.

Menurutnya, mahkamah mahu meneliti sama ada wujud percanggahan dalam keterangan yang akan dikemukakan sebelum menentukan hala tuju kes.

“Mahkamah mahu mendengar keterangan kedua-dua pihak terlebih dahulu bagi memastikan sama ada terdapat percanggahan atau sebaliknya.

“Hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada kes ini boleh diteruskan atau tidak. Jadi, mahkamah memutuskan supaya perbicaraan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Prosiding yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani berlangsung secara tertutup dengan kehadiran Adnan selaku plaintif dan Adira sebagai defendan.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan seterusnya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria berkata, pihaknya menerima notis penarikan balik kes daripada plaintif pada Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada permohonan itu boleh dibenarkan atau sebaliknya adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

“Pengesahan lafaz talak dan lafaz rujuk perlu dibuat mengikut hukum syarak. Oleh itu, kami memohon mahkamah membuat keputusan mengenainya.

“Namun, pada prosiding hari ini, mahkamah menolak permohonan plaintif untuk menarik balik kes. Justeru, prosiding akan diteruskan dengan keterangan pihak defendan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April lalu ditangguhkan ke hari ini bagi mendengar permohonan Adnan untuk menarik balik kes berkenaan.

Sebelum ini, Adnan memfailkan permohonan pada 18 Disember tahun lalu dengan mendakwa lafaz rujuk telah dibuat pada Mei 2024 ketika Adira masih berada dalam tempoh idah selepas perceraian.

Bagaimanapun, Adira dilaporkan tidak mengesahkan dakwaan tersebut.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi sebelum ini turut meluahkan rasa terkejut terhadap tindakan bekas suaminya itu serta menegaskan beliau tidak mengetahui mengenai permohonan pengesahan lafaz rujuk berkenaan.

Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.

Scroll to Top