UMNO bukan parti anak beranak! Akmal Saleh bidas Puad Zarkashi

UMNO bukan parti anak beranak! Akmal Saleh bidas Puad Zarkashi

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan politik keluarga atau memberi keutamaan kepada ahli keluarga tertentu untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya.

Menurut beliau, dakwaan bahawa UMNO Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas kerana parti itu masih memberi ruang luas kepada pemimpin muda untuk diketengahkan.

“UMNO ini bukan parti anak beranak. Ramai lagi orang muda yang ada dan telah dipilih sebagai calon.
“Hanya kerana anak seseorang tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna parti ini tidak lagi mempunyai aspirasi untuk golongan muda,” katanya menerusi satu perkongsian video di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar daripada UMNO selepas tidak berpuas hati dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, Akmal berkata BN Johor mempertaruhkan 13 calon berusia bawah 40 tahun dalam PRN kali ini, sekali gus membuktikan komitmen parti untuk memberi peluang kepada generasi muda memegang peranan kepimpinan di peringkat negeri.

Artikel lain: Anak tak jadi calon, ugut keluar parti? Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa UMNO Johor tidak memberi peluang kepada golongan muda sedangkan Puad sendiri pernah bertanding ketika berusia lebih 60 tahun.

“Sebelum ini beliau sendiri menyatakan hasrat supaya lebih ramai calon muda diketengahkan dan perkara itu telah dilaksanakan.
“Jadi tidak wajar untuk mengatakan UMNO Johor tidak mempunyai aspirasi orang muda hanya kerana permintaan tertentu tidak dapat dipenuhi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Akmal menyifatkan dakwaan yang mengaitkan institusi diraja dengan proses pemilihan calon sebagai satu tuduhan serius yang perlu disiasat pihak berkuasa.

Beliau berkata, Pemuda UMNO akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

“Tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja adalah perkara yang sangat berat. Kita mahu perkara ini disiasat dan jika dakwaan itu tidak benar, tindakan sewajarnya perlu diambil,” ujar beliau.

Sumber: FB Akmal Saleh

Scroll to Top