Warga emas rugi RM693,000 ditipu pelaburan dalam talian

Warga emas rugi RM693,000 ditipu pelaburan dalam talian

am@hmetro.com.my

Georgetown: Warga emas berusia 70 tahun rugi RM693,000 diperdaya pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang juga pengurus syarikat kargo di negeri ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.

Katanya, mangsa melihat iklan itu pada Mac lalu yang menjanjikan keuntungan 100 peratus daripada modal yang dilabur dalam tempoh 48 jam.

“Mangsa seterusnya membuat 12 transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza pada 4 Jun hingga 3 Julai lalu dan hanya menyedari sudah ditipu apabila tidak menerima keuntungan dijanjikan sebaliknya diminta menambah pelaburan untuk membuat pengeluaran keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan taktik scammer dan sentiasa membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk sebarang promosi produk pelaburan sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top