Perlu penyelesaian adil untuk semua pihak

Perlu penyelesaian adil untuk semua pihak

am@hmetro.com.my

Hulu Langat: Isu penerokaan haram di Sungai Gabai di sini tidak boleh dilihat kepada pencerobohan semata-mata, sebaliknya penyelesaian perlu mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, kerajaan Selangor meluluskan 104 ekar (42.08 hektar) tanah yang dikenal pasti sebagai sebahagian kawasan hutan simpan untuk diberikan kepada 104 pemohon, dengan syarat setiap ekar perlu diganti semula di kawasan lain dalam negeri itu.

Katanya, tindakan kerajaan negeri meluluskan tanah dalam kawasan hutan simpan meskipun disertakan syarat ganti, tetap dianggap sensitif kerana membabitkan ekosistem dan prinsip pemuliharaan alam, namun keputusan itu dilihat sebagai penyelesaian terbaik.

“Melalui keputusan kerajaan negeri, setiap pemohon akan menerima satu ekar (0.404 hektar) tanah dan keseluruhan kawasan yang diluluskan berjumlah 104 ekar (42 hektar).

“Kerajaan negeri hanya meluluskan dasar pemilikan satu ekar sahaja walaupun ada peneroka yang mengusahakan kawasan seluas lima hingga enam ekar (dua hektar hingga 2.4 hektar) sebelum ini.

“Ini penyelesaian adil. Kerajaan tak nafikan sejarah penerokaan, tetapi mereka (peneroka) juga tidak boleh tuntut lebih. Kalau tidak terima, boleh jadi langsung tidak dapat (tanah),” katanya.

Mohd Sany berkata, peneroka masih perlu melalui proses permohonan rasmi, pengukuran tanah dan mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

“Satu sesi townhall (libat urus) bakal diadakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk memuktamadkan senarai pemohon sah.

“Individu yang sudah meninggal dunia atau bukan lagi pemilik asal tidak akan dipertimbangkan dalam pemberimilikan. Ini bermakna, status permohonan ini juga tidak boleh diwarisi secara automatik oleh anak atau waris, memandangkan ia bukan pemilikan tanah rasmi sebelum ini.

“Justeru, senarai akan ditapis semula. Walaupun ada 104 nama dalam senarai awal, jumlah akhir mungkin akan berkurangan,” katanya.

Katanya, walaupun kawasan berkenaan dikategorikan sebagai hutan simpan, namun ini langkah terkawal dan adil kerana membabitkan penduduk yang sudah lama menetap dan berusaha memohon secara sah sejak sekian lama.

“Kalau ikut syarat dan ganti balik kawasan yang diambil, saya rasa itu jalan terbaik. Kita tidak boleh anggap semua kes ini pencerobohan semata-mata,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top