saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jangan main-main dengan badan induk dunia.
Demikian ingatan bekas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman kepada Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim berhubung tindakan yang mungkin bakal dikenakan Olahraga Dunia (WA) kepadanya.
Ia berhubung laporan mengenai sepucuk surat dihantar oleh WA kepada MA sebelum ini yang inginkan penjelasan status jawatan presiden disandang oleh Karim susulan penggantungan yang dikenakan ke atasnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Namun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.
Tiada tempoh masa dinyatakan dan perkara itu tidak dibangkitkan semasa rayuannya di CAS.
“Sekarang ini, saya percaya ada surat daripada Olahraga Dunia. Sehingga anda (Karim) membetulkan keadaan, barulah mereka (WA) boleh terima anda. Jika gagal, mereka akan mengenakan penggantungan kepada anda.
“Jangan ingat oh, tak ada surat, tak ada apa-apa, semuanya lancar, anda selamat. Tidak.
“Jangan ingat ia sudah berakhir. Sebab itu kita kena berhati-hati kerana apabila sudah terlambat, atlet kita nak masuk bertanding pun tak boleh. Jangan ingat badan dunia main-main,” kata Zaiton yang juga bekas atlet olahraga negara.
Zaiton berkata, demikian pada sidang media satu gerakan baharu yang diterajui oleh atlet iaitu RISE, yang menggesa reformasi sistemik dalam sukan Malaysia.
Gerakan itu muncul ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap isu tadbir urus dalam sukan Malaysia, khususnya dalam olahraga, di mana pertikaian berkaitan kepimpinan dan pematuhan peraturan meningkatkan risiko sekatan antarabangsa.
Sementara itu, Zaiton memberi contoh bagaimana Persekutuan Olahraga Rusia yang pernah digantung oleh WA.
“Olahraga Rusia pernah digantung…mereka sampai ke tahap itu (menerima hukuman) walaupun mempunyai atlet kelas dunia. Perkara ini boleh berlaku (kepada atlet negara). Jadi anda tidak boleh melawan garis panduan atau peraturan yang ditetapkan oleh badan induk dunia,” katanya.
Karim menerusi laporan sebelum ini menegaskan kedudukannya sebagai peneraju badan induk itu adalah sah dan mengikut perlembagaan.
Beliau menjelaskan proses pemilihan serta pelantikannya dibuat secara telus dan mematuhi segala garis panduan ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan jawatan yang disandang itu adalah selaras dengan perlembagaan MA yang sudah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan berkuat kuasa sejak 15 Januari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




