Izzah sedia lebih berani di keirin

Izzah sedia lebih berani di keirin

saifulaffendy@hmetro.com.my

Nilai: Sensasi berbasikal trek wanita negara, Nur Izzah Izzati Mohd Asri tetap boleh tersenyum puas meskipun terkandas di peringkat suku akhir acara pecut individu wanita pada saingan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Izzah mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 10.541 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod lama 10.578s yang dilakukan di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye, Mac tahun lalu.

Namun, langkahnya terhenti di suku akhir selepas tewas kepada juara dunia dari Belanda, Hetty van de Wouw.

Meskipun begitu, Izzah menyifatkan pengalaman itu sebagai satu pembelajaran paling berharga dalam kariernya di pentas elit dunia.

“Ini antara pencapaian terbesar dalam karier saya. Saya berjaya pecahkan rekod kebangsaan dan berada dalam kelompok tujuh terbaik dunia.

“Walaupun berdepan juara dunia, ia memberi pengajaran besar terutama dari segi taktikal dan kelajuan. Saya juga kini lebih yakin selepas konsisten mencatat masa bawah 11 saat,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Menurutnya, pengalaman beraksi di Perth, Kejohanan Berbasikal Asia serta Hong Kong banyak membantu meningkatkan keyakinan untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi dunia.

Sementara itu, Izzah berkata, dia akan mengalihkan fokus kepada acara keirin esok dengan tekad untuk tampil lebih agresif dan berani.

“Untuk keirin esok, saya mahu lebih berani. Di peringkat ini, satu kesilapan kecil pun boleh menyebabkan kita tersingkir.

“Sebelum ini saya terlalu bermain selamat dan kurang berani apabila dicabar rapat oleh lawan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top