NAIROBI: Sebuah syarikat di Kenya sedang membangunkan tangan mekanikal yang mampu menterjemahkan suara guru kepada bahasa isyarat dalam masa nyata bagi membantu kanak-kanak pekak mengikuti pembelajaran.
ZeroBionic, yang diasaskan bersama Norah Kimathi, 22, menghasilkan tangan mekanikal yang direka untuk membolehkan murid pekak belajar bersama rakan sebaya yang mempunyai pendengaran normal.
Teknologi itu turut digunakan untuk merakam dan menyimpan bahasa isyarat melalui sut badan khas, sekali gus membolehkan syarikat berkenaan membina pangkalan data istilah teknikal dalam bahasa Inggeris serta bahasa isyarat Amerika Syarikat (AS) dan Kenya.
Pangkalan data itu membantu memperluas kosa kata bahasa isyarat dan memudahkan kanak-kanak pekak mempelajari istilah baharu serta berkomunikasi.
Teknologi berkenaan diuji di Sekolah Menengah Kasarani Treeside untuk Orang Pekak di Nairobi, dengan guru pekak membantu merakam pelbagai bahasa isyarat untuk dimasukkan ke dalam sistem.
Menurut Persatuan Kanak-kanak Pekak Kenya, kira-kira 300,000 kanak-kanak di negara Afrika Timur itu mengalami masalah pendengaran, namun hanya sekitar 20,000 bersekolah pada 2024.
“Cabaran terbesar yang kami hadapi ialah Afrika tidak mempunyai set data bahasa isyarat yang seragam.
“Tiada pihak lain pernah membangunkan perkara ini di benua ini… Jadi, kami terpaksa bermula dari kosong,” kata Kimathi kepada AFP.
Ramai kanak-kanak pekak di Kenya mempelajari bahasa isyarat yang tidak seragam, manakala bahasa isyarat tempatan juga kekurangan banyak istilah teknikal yang diperlukan untuk mengajar mata pelajaran seperti matematik dan biologi.
Pelbagai prototaip tangan robotik kelihatan memenuhi ruang di makmal Kimathi.
Pasukannya turut bekerjasama dengan Africa One, sebuah robot humanoid yang dibangunkan mereka, bagi memperhalusi dan menambah jumlah bahasa isyarat yang mampu dihasilkan oleh tangan mekanikal berkenaan.
Keseluruhan teknologi itu direka dan dihasilkan sendiri menggunakan bahan kitar semula bagi mengurangkan kos serta kesan terhadap alam sekitar.
Komponen berkenaan dihasilkan menggunakan pencetak 3D yang terus beroperasi di makmal itu. Setiap tangan robotik berharga kira-kira AS$350 (RM1,470) dan boleh digunakan sehingga dua tahun.
Teknologi berkenaan kini sudah digunakan di 78 sekolah di seluruh Kenya.
Tangan robotik itu mencatat ketepatan 92 peratus dalam menterjemahkan pertuturan kepada bahasa isyarat, dan menurut Kimathi, hasil tersebut menjadikan segala usaha serta masa panjang yang dihabiskan di makmal berbaloi.- AFP
