mohamadridzuan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Kalau teruskan dengan mereka tak ada masalah tetapi saya tak boleh abaikan hati nurani saya. Sebab saya tahu, minyak ini banyak masalah. Jadi saya tarik diri,” kata Nur Nilam Ortiz.
Nilam berkata demikian pada sidang media pengumuman penarikan dirinya daripada usaha sama produk dengan syarikat lama di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dia dan suaminya, Azlan Komeng menjelaskan sudah tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan produk lama terbabit.
“Kerjasama kami dengan syarikat lama sudah pun berakhir secara rasmi, dan kami telah menarik diri sepenuhnya daripada sebarang urusan berkaitan produk terbabit sama ada sebagai ‘co-founder’ (pengasas bersama) atau duta,” katanya.
Pasangan ini turut melantik peguam daripada Tetuan Kyara & Co untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan perniagaannya kerana menggunakan namanya tanpa kebenaran bagi tujuan promosi.
“Sebelum ini, syarikat Nilam HQ, adalah hak saya 100 peratus. Selepas saya bergabung dengan pihak berkenaan, saya mengizinkan mereka menggunakan nama syarikat.
“Selepas saya menarik diri, saya membawa bersama jenama itu dan mereka tidak boleh menggunakannya lagi. Tetapi, selepas itu, pihak berkenaan mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan menggunakan nama Nilam HQ Resources pula.
“Syarikat itu pada asal saya tubuhkan kira-kira lima atau enam tahun lalu, kemudian mengambil keputusan berundur pada bulan puasa lalu. Sekarang perniagaan saya diteruskan pula di bawah syarikat Nilam Empire,” katanya yang kembali dengan syarikat Nilam Empire.
Menurutnya lagi, keadaan itu memberi banyak kesan emosi kepada mereka terutama membabitkan kepercayaan pihak lain.
“Isu ini juga memberi kesan kepada mental. Jadi, saya mencari jalan penyelesaian. Selepas berbincang dengan peguam, saya fikir perlu dedahkan apa yang berlaku,” katanya.
Azlan pula melahirkan rasa kesal dan mendakwa individu yang dikatakan bekas rakan perniagaan itu bertindak melampaui batas dengan mengganggu ahli keluarganya.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika, malah mencerminkan satu cubaan tekanan dan intimidasi terhadap keluarga kami. Lebih mengejutkan, individu terbabit turut menyebarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat.
“Tindakan ini jelas berniat untuk merosakkan reputasi dan menjejaskan nama baik kami secara terbuka,” katanya.
Peguam mereka, Farhayu Aziana Mazlan, berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti beberapa individu yang terbabit dalam isu berkenaan sebelum menghantar surat tuntutan (LOD).
“Sekarang ini sedang dalam proses, ada yang kita sudah hantar. Malah, ada juga yang bakal dihantar. Setakat ini kami belum memulakan tindakan mahkamah.
“Kami masih menunggu jawapan dalam tempoh 14 hari untuk pihak terbabit memberi jawapan LOD itu,” katanya.
Peguam Isznie Anis Ismail yang turut mewakili mereka pula berkata, antara tuntutan dibuat adalah untuk pihak berkenaan mengeluarkan sebarang hantaran membabitkan anak guamnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd