Saya kecewa dengan polis – Bapa Zayn Rayyan

Saya kecewa dengan polis – Bapa Zayn Rayyan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Saya kecewa dengan pihak polis!

Itulah luahan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Zaim Ikhwan Zahari sejurus beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Zaim Ikhwan, 30, yang kelihatan sugul, menyifatkan pertuduhan yang dihadapinya bersama isteri, Ismanira Abdul Manaf, sebagai sesuatu yang mengarut.

Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira untuk membela diri, Zaim Ikhwan berkata dirinya kecewa dengan polis.

“Saya tak tahu. Tapi apa-apa yang saya boleh cakap, saya kecewa dengan pihak polis.

“Sepatutnya pertuduhan ini memang tak ada. Ini semua mengarut,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Dia turut menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap siasatan polis, walaupun mendakwa dia sudah memberikan kerjasama penuh.

“Sepanjang (siasatan) saya sudah bagi kerjasama, saya sudah bagi kerjasama.

“Saya bagi kepercayaan kepada pihak polis untuk tangkap pembunuh anak saya. (Tetapi) pembunuh anak saya masih di luar sana.

“Inikah hasilnya? Memang saya sangat kecewa,” katanya dengan nada kesal.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengarahkan ibu kepada Zayn Rayyan membela diri manakala bapa kanak-kanak itu dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibacakan Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Ismanira, selain gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Ibu bapa kanak-kanak autisme terbabit masing-masing berusia 30 tahun diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Sementara itu, peguam yang mewakili pasangan itu, Haresh Mahadevan, berkata, pihaknya berpuas hati dan menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Okay, kita puas hati. Kita hormat keputusan hakim. Zaim dibebaskan. Ismanira dipanggil untuk bela diri.

“Ismanira sudah beri keterangan dari pagi sampai sekarang jam 5 petang.

“Kita akan sambung esok dan mungkin selepas tengah hari pihak timbalan pendakwa raya akan pemeriksaan balas,” katanya.

Seorang lagi peguam yang mewakili pasangan itu, Ramzani Idris, menyifatkan keputusan mahkamah yang membebaskan Zaim dan memerintahkan Ismanira membela diri sebagai satu perkara yang biasa.

“Itu normal. Itu satu normal dalam kes biasa. Itu satu bukan yang kita terperanjat. Itu tak ada masalah bagi kita,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perasaan anak guamnya, Ramzani berkata, beliau kelihatan tenang.

“Dia biasa. Tak ada kata gembira, tak ada kata sedih.

“Ia satu proses yang biasa dan dia memang dah selalu pergi mahkamah. Jadi tak ada masalah,” katanya.

Berita berkaitan:

‘Tidak! Saya tidak pernah mengabaikan Zayn’ – Ismanira

Ismanira sebak ketika sebut nama Zayn Rayyan di kandang saksi

Ismanira menitiskan air mata selepas diperintah bela diri kes Zayn Rayyan

Ibu Zayn Rayyan diarah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top