Qasrina sedar khilaf, jamin jadi iktibar pada diri agar tidak berulang

Qasrina sedar khilaf, jamin jadi iktibar pada diri agar tidak berulang

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Qasrina Karim, 29, tidak menafikan dia terlepas pandang untuk menutup aurat sepenuhnya dalam hantaran video bersama pelakon Meerqeen di TikTok, baru-baru ini.

Qasrina berkata, dia menyedari kekhilafan berkenaan dan akan menjadi iktibar kepada dirinya agar lebih berhati-hati pada masa akan datang supaya kesilapan yang sama itu tidak berulang.

“Sebenarnya ketika video itu dirakam, saya masih bersiap untuk ‘makeup’. Jadi, pada saya biasalah kalau perlu melonggarkan sedikit tudung dipakai sebab nak mudahkan proses ‘makeup’ nanti.

“Namun, saya percaya itu bukan alasan untuk saya tidak perasan yang aurat saya sedikit terdedah hingga menampakkan leher dan rambut,” katanya kepada Harian Metro berhubung insiden berkenaan.

Ujar Qasrina lagi, dia ada ternampak komen-komen ditinggalkan netizen yang menegur kekhilafannya itu dan mengucapkan terima kasih kerana mereka sudi ambil berat dan titipkan nasihat positif.

Terdahulu, Qasrina ditemui media selepas majlis sidang media dan pelancaran dua drama adaptasi novel popular iaitu Thariq Ridzuwan: His Treasure arahan Eyra Rahman serta Mandul Bukan Pilihan diarahkan Osman Ali yang berlangsung di ibu kota.

Mengulas juga lakonannya bersama Meerqeen sebagai teraju utama dalam dramaThariq Ridzuwan: His Treasure itu, Qasrina berkata watak sebagai Radwa yang dibawakannya sangat berat dan mencabar.

“Tetapi, kerjasama dengan Meerqeen dalam drama ini memang tidak sukar untuk kami menemui titik keserasian antara satu sama lain. Meerqeen banyak membantu saya, termasuk memberi semangat untuk Radwa.

“Saya sangat bersyukur keserasian antara kami juga tidak susah untuk dibentuk. Bahkan, di luar set penggambaran pun, saya dan Meerqeen berkawan baik. Jadi, mungkin sebab itu kerjasama kami lancar dan dipermudahkan.

“Bagi saya, Meerqeen adalah seorang rakan sekerja yang mudah didedakati, baik dan suka membantu. Bukan hanya dengan saya seorang sahaja, tetapi dia (Meerqeen) juga boleh rapat dengan semua krew di lokasi,” katanya.

Baru-baru ini, difahamkan ada segelintir peminat Qasrina yang meluahkan rasa kecewa dan kesal mereka terhadap pelakon itu susulan dikatakan tidak menutup penuh auratnya dalam hantaran video bersama Meerqeen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top