Imigresen kerjasama dengan MBSA kesan pemilik tanah 'kampung' haram PATI di Setia Alam

Imigresen kerjasama dengan MBSA kesan pemilik tanah 'kampung' haram PATI di Setia Alam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung status pemilikan tanah penempatan warga asing terpencil yang lengkap kemudahan asas di Setia Alam, Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada MBSA untuk mendapatkan pengesahan status pemilikan tanah penempatan haram berkenaan.

Menurutnya, pengesahan itu penting bagi mengenal pasti pemilik tanah terbabit.

“Maklumat berkaitan pemilikan tanah berkenaan diperlukan bagi membolehkan pihak JIM mengambil tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, JIM Selangor juga sudah mengemukakan satu laporan rasmi kepada MBSA bagi memaklumkan hasil pengesanan itu untuk tindakan lanjut oleh pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) selaras dengan bidang kuasa diperuntukkan.

Muka depan Harian Metro melaporkan, penempatan warga asing terpencil di lokasi berbukit yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, kedai runcit malah mempunyai bekalan elektrik serta air di Setia Alam diserbu hasil operasi pihak berkuasa.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan siapa dalang di sebalik penempatan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top