Pertemuan PM dan Ahli Parlimen BN bincang isu semasa, dasar

Pertemuan PM dan Ahli Parlimen BN bincang isu semasa, dasar

am@hmetro.com.my

Jeli: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang berlangsung malam tadi hanya membincangkan perkembangan isu semasa dan dasar kerajaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pertemuan itu adalah rutin biasa dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pertemuan ini adalah sering kali diadakan secara berkala bagi mengikuti perkembangan semasa dan taklimat yang disampaikan oleh Perdana Menteri malam tadi.

“Saya tidak boleh jelaskan secara terperinci berhubung perbincangan malam tadi namun tiada isu khusus yang dibincangkan. Sebaliknya ia berkait dasar dan isu semasa yang memerlukan penjelasan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pertemuan itu turut membangkitkan isu Titah Adendum, Zambry berkata tiada isu khusus dibincangkan sebaliknya meliputi semua isu atau cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen.

“Apa isunya yang dibangkitkan tidak perlu saya perincikan, cukup saya maklum secara umum,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa menteri dan Ahli Parlimen BN, berakhir kira-kira jam 9.20 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top