PRN Johor: Bendera PH di Felda Adela dibakar, calon buat laporan polis

PRN Johor: Bendera PH di Felda Adela dibakar, calon buat laporan polis

Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) kesal dengan tindakan khianat pihak tertentu yang membakar bendera gabungan itu di hadapan laluan masuk ke Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat Faizul Abdul Ghani berkata kejadian itu disedari ketua jentera unit logistiknya kira-kira 2 pagi hari ini.

Beliau berkata susulan itu, wakilnya Mohamad Saat Sukami membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan provokasi, sabotaj atau perbuatan yang boleh menghakis budaya demokrasi matang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Faizul berkata meskipun PH menghormati hak semua pihak untuk berkempen dan berbeza pendapat, namun kebebasan berpolitik perlu dilaksanakan secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang.

Beliau turut menggesa penyokong, petugas parti dan masyarakat setempat supaya bertenang serta tidak bertindak di luar batasan undang-undang, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada PDRM dan SPR.

“Kempen pilihan raya sepatutnya menjadi ruang untuk menawarkan idea, rekod kerja dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat, bukannya dicemari dengan perbuatan khianat atau provokasi,” katanya.

Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 memasuki hari kedua hari ini selepas proses penamaan calon selesai semalam, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top