am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Wanita yang juga suspek utama sindiket penipuan pembiayaan peribadi dari bank tempatan, ditahan semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, wanita terbabit dikatakan individu yang menguruskan keseluruhan proses pinjaman termasuk mencari peminjam dan mengendalikan dokumen palsu.
“Wanita terbabit ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, semalam, sekali gus melumpuhkan sindiket yang aktif sejak tahun lalu.
“Wanita itu ditahan susulan laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, berhubung kes penipuan pembiayaan pinjaman peribadi membabitkan kerugian sebanyak RM1.33 juta antara Januari hingga April 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit memperdaya bank tempatan dengan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan pinjaman.
Katanya, permohonan itu diuruskan secara melalui pos tanpa kehadiran fizikal peminjam di bank atau pengesahan tandatangan di hadapan pegawai bank.
Menurutnya, setelah pinjaman diluluskan dan wang dipindahkan ke akaun peminjam, kesemua peminjam gagal membuat sebarang bayaran balik.
Katanya, hasil audit dalaman bank tempatan mendedahkan dokumen digunakan oleh tujuh peminjam berkenaan juga adalah palsu.
Susulan itu, polis merampas tujuh kad mesin pengeluaran automatik (ATM) iaitu empat keping milik peminjam dan tiga keping milik suspek.
“Turut dirampas dua unit telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan permohonan pinjaman,” katanya.
Mohd Khairi berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai bertindak sebagai ejen yang menawarkan pinjaman kepada individu yang tidak layak memohon pinjaman sah seperti tiada pendapatan tetap.
Suspek juga dikatakan mengenakan caj komisen 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan dan kad ATM peminjam akan dipegang oleh suspek sehingga pinjaman dimasukkan ke akaun peminjam.
Menurutnya, semua urusan awal dilakukan melalui aplikasi WhatsApp sebelum perjumpaan fizikal dibuat.
“Suspek direman sehingga 15 Julai ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd