syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Awal tahun 2000 menyaksikan nama Ahmad Mohd Arshad atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Komando’ menjadi antara figura jenayah paling dikehendaki di Malaysia apabila beberapa siri rompakan bersenjata menggemparkan negara sekitar 2001 hingga 2002.
Mat Komando yang dikaitkan dengan Kumpulan 13 dan dipercayai mendalangi kira-kira 52 kes rompakan bersenjata mula menjadi buruan polis selepas beberapa insiden jenayah bersenjata berlaku di beberapa negeri termasuk Kedah.
Gelaran Mat Komando diberikan kerana dikatakan mempunyai latar belakang kemahiran ketenteraan yang membuatkan taktiknya ketika itu lebih tersusun dan sukar dijangka.
Antara lokasi yang sering dikaitkan dengan pergerakannya adalah kawasan hutan tebal di utara Kedah termasuk Gubir, Pedu dan Pendang yang menjadi tumpuan operasi besar-besaran polis ketika itu.
Kisah pemburuan itu kemudian menjadi antara liputan jenayah paling hangat apabila operasi membabitkan unit khas dan risikan polis dijalankan secara berterusan selama berbulan-bulan.
Bukan itu sahaja, dia juga dikatakan mempunyai ilmu mistik yang dipercayai membolehkan dia kebal atau ghaib, sekali gus menyukarkan pihak polis menangkapnya.
Bagaimanapun, pada 12 September 2002, operasi pemburuan itu berakhir apabila Mat Komando ditemui di sebuah pondok di kawasan kebun getah di Pendang sebelum terbunuh dalam insiden berbalas tembak dengan Unit Tindakan Khas (UTK) selepas berbulan-bulan menjadi buruan polis.
Berkongsi pengalaman sebagai salah seorang wartawan yang bertugas ketika itu, bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, beliau ketika itu bertugas sebagai Ketua Biro di Perai yang memantau liputan di kawasan utara.
Menurut Tuan Asri, ketika itu, beliau ditugaskan untuk membuat liputan di salah sebuah kediaman yang pernah dihuni oleh Mat Komando di sebuah resort di Pedu, Kedah.
Jelasnya, beliau ke resort berkenaan selepas mendapat maklumat bahawa lokasi terbabit pernah menjadi tempat persembunyian suspek.
“Lebih kurang penghujung 2001, saya difahamkan dia menginap lama di situ. Selepas kena serbu dengan polis, saya pergi ke tempat itu dengan harapan nak temu bual pekerja.
“Sampai sahaja di resort, pihak pengurusan tak bagi masuk, sampaikan perlu buat helah semata-mata mahu dapatkan berita atau maklumat berkenaan Mat Komando.
“Ketika itu saya cakap, mahu buat cerita pelancongan untuk promosi resort berkenaan dan kemudian terus mereka bagi. Saya dan wartawan sambilan merangkap jurufoto, Azhar, pun berpura-pura lah ambil gambar resort,” katanya.
Siapa sangka helah itu akhirnya membolehkan Tuan Asri dan Azhar, mendapatkan sedikit akses untuk melihat keadaan sekitar resort sebelum bertemu beberapa pekerja serta menemu bual mereka.
Beliau berkata, daripada perbualan dengan pekerja, beliau mendapat gambaran bahawa Mat Komando pernah menginap lama di resort berkenaan.
Menurutnya, semua pekerja yang ditemu bual juga memaklumkan, Mat Komando seorang yang baik, pemurah dan suka memberi wang.
Jelas beliau, ada cerita bahawa suspek sering memberi ‘tip’ dan meninggalkan baki wang kepada pekerja tanpa mengambil semula.
“Contohnya kalau dia suruh budak beli makanan, baki duit dia suruh ‘keep the change’ (simpan baki). Bukan itu sahaja, kami juga difahamkan, disebabkan resort itu pernah menjadi tempat penginapan dia, orang tak mahu pergi…tiada siapa yang ingin menginap,” katanya.
Selepas melakukan liputan di resort berkenaan, Tuan Asri kemudian bergerak ke beberapa kampung berdekatan untuk mendapatkan reaksi penduduk tempatan.
Namun menurutnya, penduduk kampung enggan memberikan sebarang komen mengenai Mat Komando, berkemungkinan kerana takut atau tidak mahu terbabit dengan liputan media.
“Ada dua kemungkinan, pertama, takut jika muka keluar di surat khabar, risau kalau terjadi apa-apa pada keluarga mereka, kedua mungkin tak mahu terguriskan hati keluarga Mat Komando. Semuanya ambil jalan selamat,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga pandangan ketika itu bahawa Mat Komando mendapat sokongan serta dianggap seperti ‘Robin Hood’, selain wujud simpati dalam kalangan sebahagian masyarakat tempatan.
Mengulas berkenaan kejadian Mat Komando ‘kebal’ dan ‘ghaib’, beliau berkata, ada suatu ketika apabila terdapat laporan bahawa polis sedang mengepung sebuah kawasan kedai di Baling selepas menerima maklumat mengenai suspek.
Menurutnya, pasukan media ketika itu bersiap sedia kerana menyangka tangkapan akan berlaku, namun, sangkaan meleset apabila suspek tidak dijumpai, sekali gus menguatkan persepsi bahawa Mat Komando sukar dijejaki dan seolah-olah ‘ghaib’ dari operasi polis.
Beliau berjaya, beberapa insiden termasuk kereta pernah ditembak turut menambah misteri kepada kes berkenaan, selain wujud cerita kononnya dia ditemui di sebuah pondok kebun getah di Pendang ketika kaki tidak menjejak tanah yang dikaitkan dengan dakwaan ilmu kebalnya tidak ‘aktif’ ketika itu, sebelum akhirnya ditembak mati dalam operasi berkenaan.
“Sepanjang membuat liputan kes ini, saya tidak pernah rasa takut, kita buat kerja sahaja, tak fikir takut.
“Ketika itu, arwah bos sudah ingatkan saya, katanya, pergi buat liputan bukan untuk jadi bos, saya kena turun padang, jangan harapkan orang. Disebabkan kes ini, saya banyak kenal dengan wartawan di sebelah Kedah, kami sudah seperti keluarga sehingga sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




