Sisa sabun punca 'salji' atas lebuh raya

safeek@bh.com.my

Shah Alam: Hujan lebat menyebabkan sisa sabun daripada muatan lori yang tertumpah pada 24 Ogos lalu kembali mengeluarkan buih di permukaan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga ada yang menganggap seperti ‘salji’.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, ia membabitkan di Kilometer (KM) 30.0 hingga KM30.5 dari arah Klang menghala ke Kuala Lumpur pada 3.10 petang tadi.

“Ketika kejadian tumpahan itu, pihak bomba mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang sisa sabun yang tumpah di lokasi.

“Bagaimanapun akibat hujan lebat hari ini, sisa tumpahan sabun itu mengeluarkan buih sepanjang kira-kira 500 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan kejadian itu, pihak konsesi lebuh raya mengambil inisiatif menjalankan kerja-kerja pembersihan kali kedua bagi menangani sisa tumpahan berkenaan, katanya.

Kerja-kerja pembersihan itu selesai pada 4.58 petang.

Terdahulu, insiden terbabit tular di media sosial dengan orang ramai berseloroh dengan menganggap lebuh raya dilitupi salji.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top