KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh menganggap tarif 10 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ketika ini sebagai kadar yang terjamin kerana Washington boleh mempertimbangkan langkah tarif tambahan sekiranya gagal diyakinkan dengan keberkesanan kawal selia negara.
Pemain industri maritim, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, Malaysia perlu menggunakan tempoh sebelum AS mengumumkan hasil siasatan untuk memperkukuh bukti serta memastikan setiap komitmen yang dibuat kepada Washington dilaksanakan dengan berkesan.
“Malaysia perlu menunjukkan bukan sahaja bahawa peraturan itu wujud, tetapi ia dilaksanakan, dipantau dan dikuatkuasakan dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu mengumpulkan data industri yang disahkan, mengaudit pergerakan kargo berisiko tinggi dan membuktikan penguatkuasaan berkesan terhadap sekatan import berkaitan buruh paksa.
Katanya, keupayaan mengesan pergerakan barangan sepanjang rantaian bekalan juga penting bagi memastikan eksport yang dikaitkan dengan Malaysia benar-benar berasal daripada pengeluaran tempatan.
“Rekod yang lemah akan menyukarkan usaha membezakan antara pengeluaran sebenar di Malaysia dengan barangan yang hanya melalui negara ini.
“Ini boleh menjejaskan kredibiliti, walaupun ia dengan sendirinya tidak membuktikan berlakunya lebihan kapasiti,” katanya.
Jeyenderan berkata, kebimbangan AS terhadap pergerakan barangan melalui negara ketiga menjadikan kawalan transhipment yang kukuh antara perkara penting dalam usaha mempertahankan kedudukan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, AS dijangka mengumumkan hasil siasatan mengenai lebihan kapasiti yang membabitkan Malaysia dalam tempoh tiga hingga empat minggu.
Johari turut menjelaskan tarif 10 peratus yang dikenakan AS ketika ini adalah sebahagian daripada tindakan lebih luas membabitkan 60 ekonomi di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan Malaysia antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif lebih rendah itu.
Jeyenderan berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan kepentingan Malaysia memastikan semua rekod berkaitan industri dan pergerakan kargo dapat dikemukakan dengan jelas sekiranya diperlukan dalam proses siasatan.
Katanya, persoalan berkaitan kebolehkesanan kargo juga perlu dijawab secara berdokumen, khususnya membabitkan kargo petroleum K8.
“Pihak berkuasa perlu mengeluarkan penentuan bertulis yang jelas mengenai penyimpanan dan pencampuran yang dibenarkan, pengisytiharan yang betul serta klasifikasi dan layanan cukai yang terhasil.
“Menyelesaikannya akan memberikan kepastian kepada perniagaan dan mengukuhkan keupayaan Malaysia mempertahankan kawal selianya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pendirian yang jelas dan didokumenkan daripada pihak berkuasa berkaitan turut dapat mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan syarikat yang terlibat dalam perdagangan petroleum dan maritim.
“Perniagaan perlu memahami bahawa kadar 10 peratus bukanlah had yang terjamin. Sekiranya AS tidak berpuas hati dengan maklum balas Malaysia atau berpendapat komitmen yang dibuat tidak dilaksanakan dengan sewajarnya, terdapat kemungkinan langkah lanjut dipertimbangkan,” katanya.
Jeyenderan berkata, Malaysia perlu memastikan sebarang kelemahan yang dikenal pasti melalui siasatan AS ditangani segera dan telus, bukannya menunggu sehingga langkah tarif tambahan dikenakan.-UTUSAN
