'Saya sudah lama tahu Rusdi, Sharon dah bercerai' – Norlia Ghani

'Saya sudah lama tahu Rusdi, Sharon dah bercerai' – Norlia Ghani

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya hormati keputusan mereka untuk berpisah kerana akur hanya setakat itu jodoh mereka,” kata artis veteran Norlia Ghani, 77.

Norlia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan komposer, Sharon Paul, 48, yang mengesahkan berita perceraiannya dengan pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli, 55, sejak Januari tahun lalu.

Menurut Norlia, dia juga sudah mengetahui berita perceraian itu dari Rusdi sendiri sebelum ini.

“Sebenarnya, saya sudah lama tahu mereka bercerai cuma saya tidak berkongsi dengan pihak media.

“Mereka sudah bercerai sejak Januari tahun lalu dan perkara itu sudah lama selesai. Cuma baru sekarang, Sharon buat kenyataan mengenainya.

“Memang semua ibu bapa mahukan rumah tangga anak mereka bahagia dan berkekalan, tapi kalau sudah jodoh mereka setakat itu sahaja kita kena terimalah,” katanya kepada Harian Metro.

Diminta mengulas dakwaan Sharon yang terpaksa melalui situasi yang dinamakan ‘cold violence’ sepanjang berkahwin dengan Rusdi pula, Norlia berkata, dia tidak menyokong mereka membuka aib pasangan masing-masing.

“Rusdi memang seorang yang pendiam dan kalau ada masalah dia memang suka berdiam diri dan selesaikan masalahnya secara diam-diam juga.

“Saya lebih suka Rusdi berdiam diri dari memberi kenyataan kepada pihak media serta membuka aib pasangan. Dia tidak menjawab panggilan dari media mungkin kerana berada di lokasi penggambaran sekarang.

“Ini kisah rumah tangga kita buat apa nak cerita pada orang? Bila suka kita beritahu satu dunia, bila bercerai berai macam itu ada orang boleh tolong?,” katanya.

Terdahulu, Sharon mengesahkan dia dan Rusdi sudah bercerai sejak Januari tahun lalu selepas tidak menemui penyelesaian membabitkan kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini juga wujud khabar angin mendakwa rumah tangga Sharon dan Rusdi goyah dan mereka juga tidak sehaluan lagi.

Pasangan ini berkahwin pada 2008 dan dikurniakan dua anak lelaki, Reo Ridza, 16, dan Ryan Ridza, 13 yang kini tinggal bersama Sharon.

Rusdi turut memiliki seorang anak lelaki, Efiezal Ridza, 34, daripada perkahwinan pertamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top