TAPAH: Keadaan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih di sini menunjukkan perkembangan positif apabila dia kini dilaporkan stabil dan kembali bertenaga.
Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, meskipun mengalami beberapa kecederaan termasuk luka pada badan dan kaki, Jaslinda dilihat semakin ceria dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang baik.
“Jaslinda telah menerima rawatan sewajarnya sebaik tiba di Hospital Tapah pada pukul 9.25 malam (semalam) dan ketika ini masih memerlukan rawatan rapi.
“Bagaimanapun, keadaannya kini stabil walaupun mengalami beberapa kecederaan akibat berada terlalu lama di dalam hutan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tempoh rawatan Jaslinda bergantung kepada perkembangan tahap kesihatannya.
Katanya, Jaslinda kini ditemani kakaknya sepanjang menerima rawatan di hospital tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini dia dilihat lebih bertenaga dan ceria. Dia juga gembira apabila melihat ramai yang bertanyakan khabarnya selepas hampir dua minggu tidak berinteraksi dengan orang ramai.
“Buat masa ini, kami hanya membenarkan ahli keluarga atau waris terdekat melawat bagi menghormati privasinya serta memberi ruang untuk proses penyembuhan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini Jaslinda belum diberikan kaunseling secara khusus kerana keadaan emosinya dilihat berada dalam keadaan baik.
Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui penduduk Orang Asli pada pukul 5.10 petang, semalam.
Dia ketika itu dilihat berjalan dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh. – UTUSAN




