Majlis Tertinggi GRS bincang kemungkinan tanding solo – Hajiji

Majlis Tertinggi GRS bincang kemungkinan tanding solo – Hajiji

am@hmetro.com.my

Penampang: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membincangkan kehendak ahli dan penyokong parti komponennya yang mahu agar gabungan parti tempatan itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikannya dalam masa terdekat sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi GRS ditanya mengenai sentimen ahli dan penyokong PBS-STAR yang mahu agar GRS bertanding secara solo pada PRN17 nanti seperti dibangkitkan pada konvensyen julung kali PBS-STAR, hari ini.

Pendirian untuk GRS bertanding solo itu turut disokong pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang dinyatakan pada sidang media mereka sebelum ketibaan Hajiji di Hongkod Koisaan.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Penasihat Perdana yang juga pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan beberapa pemimpin parti komponen GRS, termasuk bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Sementara itu, Hajiji menyifatkan sokongan ahli dan penyokong parti komponen GRS terhadap perkara itu sebagai gambaran perpaduan dan semangat parti tempatan untuk menghadapi PRN17.

“Ini satu petanda yang cukup baik bagi perpaduan dalam GRS dan semangat parti tempatan ini begitu tinggi sekali untuk menghadapi pilihan raya yang tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji masih berahsia bila beliau akan bertemu Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman untuk mengemukakan tarikh pembubaran.

Beliau juga tidak menjawab sama ada akan membiarkan tempoh DUN sekarang berakhir sendiri pada 11 November depan yang bermakna kerajaan pimpinannya masih berterusan selama kira-kira empat bulan lagi.

“Jangan tanya itu, kami fikirlah nanti, sebarang keputusan mesti dibuat melalui Majlis Tertinggi GRS.

“Bila saya mahu bubar, saya akan beritahu semua presiden parti untuk diputuskan secara konsensus.

“Walaupun ia adalah prerogatif Ketua Menteri untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri, tapi kita tidak mahu belakangkan kawan-kawan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan penutupan Konvensyen PBS-STAR, Hajiji berkata Sabah bakal berubah wajah menjadi sebuah negeri yang lebih maju, makmur, aman dan sentosa jika GRS terus diberi mandat pada PRN17.

Katanya, selama hampir lima tahun memimpin kerajaan negeri, pelbagai pencapaian penting dilakar, termasuk pemulihan ekonomi negeri dan peningkatan pelaburan serta hasil kerajaan negeri secara signifikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top