am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah intervensi bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di sekitar persimpangan Lebuhraya Gelang Patah-Kampung Ulu Pulai dan Ulu Choh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antara langkah jangka pendek yang dilaksanakan ialah pengoperasian laluan pintasan dua hala yang menghubungkan Laman Setia Utama, Setia Eco Gardens dengan Persiaran Bayu, Taman Nusa Bayu.
Beliau berkata, laluan alternatif itu mula beroperasi sejak 1 Julai lalu dan dibuka pada waktu puncak iaitu dari 6.30 pagi hingga 9 pagi serta 4.30 petang hingga 8 malam.
“Laluan ini dibuka khusus untuk kenderaan dengan berat tidak melebihi lima tan dan diharapkan dapat membantu melancarkan pergerakan trafik, khususnya pada waktu puncak.
“Namun, kita tidak berhenti dengan satu penyelesaian sahaja. Hasil tinjauan di lapangan dan perbincangan bersama agensi berkaitan, beberapa intervensi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan secara berfasa,” katanya.
Beliau baru-baru ini turut turun padang meninjau pengoperasian laluan alternatif berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Hasrin Kamal Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Mohd Fa’iz Salehon.
Mohamad Fazli berkata, untuk jangka pendek, penyelarasan sistem lampu isyarat akan diberi perhatian bagi mengoptimumkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
“Bagi langkah jangka sederhana, cadangan pembinaan susur jalan dengan anggaran kos RM3 juta akan diteliti.
“Sementara itu, cadangan pembinaan jalan baharu dengan anggaran kos sekitar RM60 juta akan diperincikan sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, setiap cadangan akan dinilai dari sudut teknikal, kos dan keberkesanan sebelum pelaksanaan dijalankan mengikut keutamaan.
“Insya-Allah, saya akan terus menyelaras bersama agensi berkaitan bagi memastikan setiap cadangan dinilai dengan teliti.
“Apa yang boleh dilaksanakan segera, kita laksanakan. Apa yang memerlukan perancangan lebih besar, kita susun dan usahakan demi mengurangkan kesesakan serta memudahkan perjalanan harian penduduk Ulu Choh dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan kegusaran pengguna di laluan Gelang Patah-Ulu Choh yang terpaksa berdepan masalah kesesakan jalan raya hampir setiap hari terutama pada waktu puncak.
Mereka menuntut penyelesaian lebih baik berikutan masalah yang sudah berlarutan lama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
