Sungai Buloh : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penggiat seni tempatan diberikan ruang lebih bebas dan terbuka dalam pembikinan filem, selaras usaha memperkukuh industri kreatif negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata pendekatan itu selari dengan usaha FINAS bersama Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk mewujudkan ekosistem perfileman yang lebih terbuka, progresif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Saya fikir ini memang pendekatan FINAS dan juga LPF. Kita sentiasa bekerjasama dengan LPF.
“Kalau kita lihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, LPF sudah bergerak lebih terbuka dan memberi lebih penekanan kepada openness in censorship (keterbukaan dalam penapisan),” katanya ditemui pada sidang media selepas perasmian Menara FINAS Damansara, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.
Mengulas perubahan pendekatan LPF, Azmir berkata sistem penarafan yang lebih terbuka membolehkan kandungan filem ditayangkan tanpa perlu memotong babak tertentu, sebaliknya disertakan klasifikasi umur bersesuaian.
“Kalau kita lihat kadar dan rating LPF pun sudah berubah. Untuk Klasifikasi 18 dan 16, mereka tidak lagi memotong babak, sebaliknya membenarkan filem berkenaan ditayangkan, tetapi menetapkan bahawa kanak-kanak tidak boleh datang menonton.
“Itu satu langkah progresif yang memang kita inginkan supaya LPF bergerak ke arah sedemikian,” katanya.
Bagaimanapun, Azmir berkata keterbukaan dalam berkarya tidak bermakna penggiat industri mengetepikan budaya dan identiti tempatan yang perlu kekal menjadi asas dalam penghasilan karya.
“Seperti yang Perdana Menteri nyatakan, untuk industri kita perlu lebih terbuka. Saya fikir fokusnya lebih kepada aspek kebudayaan dan jati diri sesebuah filem itu bagi merealisasikan kandungan kita untuk dieksport ke seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Hans ketika mengulas mengenai pemindahan operasi FINAS dari Petaling Jaya ke ibu pejabat baharu di Menara FINAS Damansara berkata, langkah itu dibuat berdasarkan perjanjian pertukaran tanah yang dipersetujui kira-kira 10 tahun lalu.
“Sebenarnya, perkara ini sangat mudah. Pada masa itu kami mendapat arahan, tetapi itu yang kita laksanakan berdasarkan perkara yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu. Mereka ada land swap deal pada masa itu.
“Jadi, kami akur dengan perjanjian yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum itu. Kami terpaksa meneruskan apa yang sudah dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.
“Seperti yang saya katakan, FINAS Petaling Jaya melalui proses itu, jadi kami sudah tidak memegang tapak berkenaan lagi, bermula bulan lalu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Menara FINAS Damansara, sekali gus menandakan fasa baharu pengukuhan ekosistem industri filem dan audiovisual negara menerusi kerangka Ekonomi Jingga.
Ibu pejabat baharu itu menyatukan fungsi pembangunan industri, pelesenan dan penguatkuasaan serta dokumentasi dan pengarkiban audiovisual negara di bawah sebuah institusi yang lebih bersepadu, tangkas dan bersedia menghadapi perubahan landskap kandungan digital.
Perasmian Menara FINAS turut mencatatkan detik bermakna bertepatan dengan 2026 yang menandakan ulang tahun ke-45 penubuhan FINAS, selain memperingati 80 tahun legasi Filem Negara Malaysia.
Menara FINAS Damansara setinggi 15 tingkat itu menawarkan persekitaran kerja lebih moden, selain dilengkapi kemudahan teknikal termasuk studio dan fasiliti produksi.
Dibangunkan di tapak seluas 5.14 ekar, projek itu bermula pada 20 Januari 2021, menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025 serta Perakuan Siap Kerja pada 22 Mei 2026.
Selepas perpindahan secara berperingkat, FINAS mula beroperasi sepenuhnya di Menara FINAS Damansara pada 6 Ogos 2026.
Antara kemudahan utama disediakan ialah Dewan Panca Delima, dua studio Sound Stage, Pawagam Digital P Ramlee berkapasiti 300 tempat duduk, ruang latihan, Mediatheque FINAS, Museum of Moving Image serta Film Vault yang menyimpan 81,770 bahan arkib audiovisual negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
