am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang pagi tadi meninggal dunia.
Terdahulu dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi, seorang wanita warga emas berusia 73 tahun maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang daripada cucunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa kedua yang juga seorang wanita berusia 23 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.
“Mangsa membabitkan tiga wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu nenek serta dua cucu dan mereka dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang.
“Kemalangan itu menyebabkan dua mangsa iaitu wanita berusia 73 tahun maut di lokasi kejadian manakala cucunya, 23 tahun yang juga penumpang kerusi hadapan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas kira-kira jam 12.50 tengah hari.
“Pemandunya yang juga remaja perempuan berusia 18 tahun mengalami kecederaan patah pergelangan tangan serta cedera dalaman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd


