KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd mengesahkan pembayaran bagi Sukuk Wakalah Siri No. 6 bernilai RM25 juta yang matang pada 6 November masih belum dilunaskan setakat hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi melunaskan jumlah tertunggak kepada pemegang sukuk secepat mungkin.
“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, bayaran tertunggak bagi nilai nominal dan jumlah agihan berkala yang dijangka berhubung Sukuk Wakalah Siri No. 6 mewakili kurang daripada lima peratus daripada aset bersih Zetrix AI berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat,” jelasnya.
Zetrix AI memberitahu pihaknya akan membuat pengumuman selanjutnya mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan perkara berkenaan, jika perlu.
Makluman syarikat kepada Bursa Malaysia itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pertanyaan rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd susulan laporan media oleh The Edge Malaysia pada 6 November 2026.
Laporan berita itu mendedahkan mengenai MARC Ratings yang menurunkan penarafan sukuk Zetrix AI kepada status ‘kemungkiran’ selepas syarikat itu gagal menjelaskan obligasi kewangannya.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd