hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemerdekaan negara membuka ruang untuk anak bangsa membuktikan kemampuan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa tanpa perlu mengetepikan identiti, agama dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Felow Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata, sebagai generasi merdeka, beliau mahu membuktikan anak Melayu juga mampu mencapai kejayaan di pentas dunia setanding dengan ilmuwan dari berbagai negara.
Menurutnya, peluang dinikmati rakyat Malaysia selepas merdeka perlu dimanfaatkan untuk membina masa depan lebih gemilang.
“Kita jangan merasa tidak yakin dengan diri dan kemampuan kita, sehingga merasakan kita tidak dapat melakukan sesuatu.
“Laungan ‘Malaysia Boleh’ perlu menjadi pemangkin semangat sebagai anak bangsa, bukan hanya slogan untuk diteriakkan,” katanya.
Beliau berkata, kemerdekaan dalam ajaran Islam bukan sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya turut bermaksud membebaskan diri daripada hawa nafsu, belenggu hutang harta dan budi serta tekanan kuasa asing.
“Selain itu, bagi saya ia juga bermaksud kita dapat menentukan falsafah dan pendirian bagi bangsa sendiri tanpa tekanan daripada ideologi asing bagi Raja, bangsa dan agamanya,” katanya.
Mengulas cabaran sepanjang berada di luar negara, Dr Afifi berkata, pengalaman meninggalkan zon selesa membuatkannya lebih menghargai nikmat yang dinikmati rakyat Malaysia.
“Cabaran yang paling ketara ialah melangkaui zon selesa kita, daripada makanan dan minuman sedap seperti teh tarik hingga ke kemudahan awam seperti adanya surau walaupun di pusat beli-belah.
“Saya menginsafi makna sebenar not to take things for granted supaya kita berasa syukur dengan nikmat yang ada di negara kita, dan jangan sekali-kali kita berkufur nikmat,” katanya.
Beliau mengakui bangga apabila melihat rakyat Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bakat dari peringkat antarabangsa tanpa mengetepikan identiti sebagai rakyat Malaysia terutama mengekalkan identiti rakyat Malaysia iaitu demi bangsa, agama, raja dan negara.
“Saya dijemput menonton buat pertama kali di tanah air konsert Shila Amzah 25 Tahun Kita Bersama, baru-baru ini yang menampilkan seorang artis tempatan yang bukan saja fasih menyanyi dalam bahasa Mandarin tetapi dengan adab menepati syariah mampu bersaing di arena asing di negara China itu dengan jayanya.
“Sama ada beliau sedar atau tidak, inilah antara maksud ‘dakwah bil hikmah’ dan hikmah dalam berdakwah,” katanya.
Menurutnya, kemerdekaan memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk mentadbir dan menentukan nasib negara tanpa penjajahan minda dan paksaan luar daripada kuasa penjajah.
“Pelbagai peluang sudah terbuka untuk rakyat Malaysia sejak detik kemerdekaan sehingga hari ini. Generasi muda tidak sepatutnya merasa malas dan selesa dengan apa yang kita ada.
“Usaha dan pencapaian mereka diperlukan supaya segala kemampuan Malaysia mencapai tahap lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Dr Afifi adalah Felow Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom dan anak Melayu pertama serta satu-satunya yang ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun.
Beliau turut dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 2024, selain namanya turut tersenarai dalam The World’s 500 Most Influential Muslims sejak 2010 atas jasa dan sumbangannya.
Beliau juga dinobatkan sebagai Fellow of the Royal Society of Arts (FRSA) di United Kingdom, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
