Usia muda bukan jaminan tak hidap dementia

Usia muda bukan jaminan tak hidap  dementia

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kes membabitkan golongan muda menghidap dementia

Kes pertama: Seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja di sebuah bank disahkan menghidap dementia.

Penyakit itu disedari ibu bapanya selepas melihat perlakuan lelaki berkenaan menunjukkan perubahan.

Difahamkan lelaki itu tidak boleh melakukan kerja asas yang sering dilakukannya semasa berkerja di bank berkenaan.

Lelaki itu dikatakan mengalami kemurungan yang turut dipengaruhi masalah peribadi selepas ditinggalkan kekasihnya.

Perubahan sikap lelaki itu yang kerap lupa menyebabkan ibu bapanya merujuk masalah berkenaan kepada pakar sebelum dia disahkan menghidap dementia.

Kes kedua: Seorang wanita berusia 40-an yang juga penjawat awam disahkan menghidap dementia selepas melakukan pemeriksaan awal.

Wanita itu membuat pemeriksaan selepas mendapati dirinya kerap lupa rutin harian yang dilakukannya setiap hari.

Wanita berkenaan gagal menjawab set soalan yang diberikan kepadanya semasa diagnosis dibuat.

Hasil beberapa pemeriksaan dilakukan pihak doktor mengesahkan wanita terbabit mengalami dementia.

Meskipun disahkan dementia di peringkat awal, wanita itu masih bekerja dan diberikan tugas ringan.

Shahzia tak jemu layan kerenah pesakit dementia

Petaling Jaya: Menjaga pesakit dementia sangat mencabar namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat Shahzia Chissari Hairuzaman untuk terus berkhidmat sebagai pembantu pengurus jururawat di pusat jagaan harian Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADHM).

Shahzia, 35, berkata, beliau bertugas di pusat jagaan harian itu selama 11 tahun iaitu dari 2014.

“Sepanjang pengalaman saya, ada pelbagai kerenah pesakit dementia. Ada yang tak suka terlalu bising dan tak nak sertai aktiviti sehingga kami perlu pujuk mereka.

“Ada juga yang mood swing dan tantrum. Bila ini berlaku, mereka akan jadi agresif dan perlu diasingkan kerana ia seperti histeria yang akan berjangkit dengan pesakit lain,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan ADHM, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Sri Aman, Sarawak amat menghargai pekerjaannya kerana pengalaman menjaga pesakit adalah sesuatu yang berharga.

“Setiap aktiviti yang kami lakukan di pusat jagaan ini adalah sama setiap hari. Meskipun aktiviti sama dilakukan, ada pesakit akan ulang soalan sama dan tanya banyak kali.

“Ada juga pesakit yang nak balik dan kerap ke tandas. Meskipun begitu, saya suka kerja saya.

“Apa yang menyentuh hati saya adalah dipanggil dengan gelaran cikgu oleh sebahagian pesakit meskipun mereka yang dijaga seusia dengan ibu bapa dan datuk nenek saya.

“Namun, apa yang paling saya banggakan apabila pesakit menunjukkan perkembangan positif semasa berada di bawah jagaan kami. Ia adalah satu kepuasan bagi saya,” katanya.

Katanya, ahli keluarga yang mempunyai pesakit dementia perlu banyak bersabar dan menimba ilmu berkaitan penyakit itu.

“Kami sering galakkan penjaga serta ahli keluarga pesakit mencari sokongan komuniti serta mengambil latihan serta kelas menjaga individu mengalami dementia.

“Buat aktiviti sama yang boleh menjadi rutin kepada pesakit supaya mereka boleh membiasakan diri dengan perkara sekeliling mereka.

“Pada masa sama, luangkan masa bersama pesakit dan dedahkan mereka dengan dunia luar. Fahamkan juga keadaan pesakit dengan ahli keluarga lain supaya mereka lebih memahami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top