syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Black Hanifah mengakui masih ‘takut’ akan bekas mentornya, Mas Idayu yang mesra dipanggil Mommy walaupun selepas 16 tahun.
Black, 38, yang bakal mengadakan Konsert Exclusive Night Nyawa Black Hanifah pada 26 Julai ini berkata, sehingga kini, dia masih gugup dan segan untuk membuat persembahan di depan Mas Idayu.
“Saya memang ada fikir nak jemput Mommy ke konsert saya nanti. Tapi terus terang, saya takut nak nyanyi depan dia.
“Kali terakhir kami berduet ialah pada tahun 2009, lagu Madu dan Racun dalam Mentor 3. Selepas itu tak pernah lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Black, penyanyi lagu Cintaku 100% itu adalah seorang artis senior dan mentor yang sangat teliti dalam berkarya dan mungkin akan menjemput mentornya itu.
“Saya selalu rasa segan sebab dia seorang yang sangat teliti dan selalu beri teguran membina. Tapi dia pun faham sekarang saya dah jadi penyanyi profesional.
“Kita tengoklah nanti, Insya-Allah kalau sesuai, saya akan jemput,” katanya.
Konsert Exclusive Night Nyawa Black Hanifah akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
