am@hmetro.com.my
Melaka: Sebuah kilang memproses barangan elektronik terpakai (e-waste) yang beroperasi secara haram di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, diserbu polis sekali gus menyita 300 tan jongkong aluminium bernilai kira-kira RM2.1 juta.
Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekitar jam 11 pagi tadi dan turut menahan 25 pekerja kilang terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar berusia 20 hingga 45 tahun.
Menurutnya, kegiatan kilang haram beroperasi sejak tiga bulan itu dikesan hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
“Kilang ini dipercayai menjalankan kegiatan meleraikan dan melebur komponen elektronik untuk menghasilkan jongkong aluminium.
“Hasil serbuan sebanyak 300 jongkong aluminium setiap satunya seberat satu tan dirampas dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM2.1 juta.
“Turut dirampas bahan mentah seperti alat kawalan jauh dan komponen kamera litar tertutup (CCTV) yang belum diproses,” katanya pada sidang media di kilang berkenaan hari ini.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati kilang itu dipercayai mengimport bahan elektronik berkenaan dari luar negara untuk diproses di sini sebelum dieksport semula ke China dan beberapa negara lain.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik kilang terbabit selain tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian syarikat lain dengan kilang haram itu.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd