Lisa Surihani reda Yusri tidak dapat tunai haji bersama

Lisa Surihani reda Yusri tidak dapat tunai haji bersama

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Datin Lisa Surihani berkongsi dirinya reda apabila rayuan permohonan visa haji suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim tidak diluluskan pada tahun ini.

Walaupun pada mulanya mereka merancang untuk mengerjakan ibadah itu bersama, Lisa memilih untuk melihat situasi itu daripada sudut positif dengan ketentuan Ilahi.

Menurut Lisa, dia amat bersyukur kerana rayuan visanya melalui Tabung Haji (TH) diluluskan, sekali gus membolehkannya mengikuti rombongan.

“Walaupun kami berharap dapat memulakan perjalanan ini bersama, rayuan Abang tidak diluluskan. Namun, pasti ada kebaikannya, insya-Allah.

“Ia menjadi peringatan yang sangat menginsafkan untuk reda, bahawa setiap niat kita sentiasa tertakluk kepada perancangan Yang Maha Tinggi. Mungkin kehadirannya diperlukan untuk menjaga keadaan di rumah, demi anak-anak.

“Daddy dan Omi mereka ada untuk membantu mengurus dan menjaga mereka dengan izin-Nya sepanjang ketiadaan saya selama 45 hari. Itulah yang paling penting buat mereka. Leganya ya Rabb,” tulisnya di Instagram.

Bagi Lisa, tumpuannya kini adalah untuk meraih haji mabrur dan pulang dengan peribadi lebih baik. Dia turut menitipkan pesanan agar peminat mendoakan kesejahteraannya sepanjang berada di sana.

“Bismillah, semoga Allah SWT mengurniakan kepada saya dan seluruh jemaah haji, haji yang mabrur, bukan sekadar pulang dengan kelegaan, tetapi juga dengan jiwa yang diperbaharui. Allahumma Aamin. Doakan kami juga ya?” tulisnya.

Sebelum ini, Lisa memaklumkan bakal berangkat ke tanah suci Makkah bagi menunaikan ibadat haji serta memohon doa dan kemaafan daripada semua pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top