Lahir tanpa tangan, kaki, Nur Adila tidak patah semangat, nekad mahu jadi pensyarah

Lahir tanpa tangan, kaki, Nur Adila tidak patah semangat, nekad mahu jadi pensyarah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lahir tanpa tangan dan kaki sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat Nur Adila Ghazali, graduan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana bagi menggapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah.

Dia yang berusia 28 tahun dari Sungai Petani, Kedah ditakdirkan Allah lahir dalam keadaan tangan kanan separas siku, sebelah kiri lebih pendek dari kanan, manakala keadaan kedua-dua kaki atas paras lutut.

Wanita itu yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Sistem Pejabat berkata, keadaannya yang serba kekurangan dengan pergerakan yang terbatas tidak menghalangnya menuntut ilmu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bermula dari pra sehingga ijazah sarjana.

Lebih manis lagi, dia dikelilingi insan yang mengambil berat dan menyayanginya terutama ibu, Hasnah Zakaria, 57 dan Ghazali Bakar, 58, adalah insan penting paling utama menjadi pembakar semangat selain bantuan rakan kuliah juga pensyarahnya.

“Saya bermula dengan Pra Diploma Perdagangan di UITM Merbok Kedah, kemudian di kampus sama, saya sambung ke peringkat Diploma Pengurusan dan Perniagaan. Di bawah Fakuti Pengurusan dan Perniagaan juga, saya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan sekarang saya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana pula.

“BIla fikir balik, saya macam tidak percaya saya mampu sampai ke tahap ini, dari pra diploma, diploma, ijazah sarjana muda …hari ini konvokesyen… eh sudah sambung Master, sedih ada… gembira pun ada.

“Ibu ayah dan keluarga sangat terharu dengan kejayaan ini. Kalau saya boleh berjaya orang lain terutama orang kurang upaya (OKU) lain pasti boleh berjaya,” katanya sebak ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini petang tadi.

Nur Adila berkata, walaupun pada ketika ini dia sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, dia sudah merancang untuk menjadi seorang pensyarah apabila tamat pengajian tahun depan.

“Selepas tamat pengajian di peringkat Master, saya rancang untuk mohon jadi pensyarah. Selepas itu, kalau ada rezeki saya hendak sambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah pula.

“Ibu bapa adalah punca semangat saya sebab lepas sekolah mereka tanya hendak hendak buat apa, kalau hendak sambung belajar mereka akan sentiasa sokong setiap usaha, terima kasih buat mereka berdua,” katanya.

Katanya, dalam keadaan diri yang tidak sempurna dengan pergerakan terbatas dan berbeza dengan insan lain, masa antara cabaran untuk sepanjang tempoh pengajiannya.

“Cabaran untuk saya dan kalau tanya mereka yang OKU fizikal adalah pengurusan masa untuk diri sendiri, kerana saya perlu mengambil masa yang agak lama… contohnya untuk bersiap ke kuliah.

“Saya perlu bangun seawal jam 5 pagi walaupun kelas bermula jam 8 pagi, itu memang rutin harian saya, hendak bersiap, memakai pakaian, tudung dan sebagainya sebab bila kita tidak sempurna, pergerakan kita jadi lambat, terhad dan mengambil masa sedikit.

“Contohnya berjalan, saya boleh berjalan untuk jarak yang pendek seperti dalam asrama, ke tandas sahaja. Tetapi kalau untuk ke kuliah, ke perpustakaan, ke kantin… saya bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda elektrik ini,” katanya.

Pada masa sama, anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, keadaan fikizal yang tidak sempurna membataskan banyak perkara namun setiap OKU mesti mencuba sekurang-kurangnya berusaha sendiri tanpa mengharapkan orang lain.

“Kadang-kadang, kita ini memang perlu mengharapkan orang untuk setiap sekecil pun benda perlukan pertolongan orang tapi kadang-kadang kita boleh buat sendiri.

“Jadi, bagi saya berusahalah walaupun seteruk mana kita jatuh terduduk… tersungkur ke cuba bangun bangun balik perlahan-lahan bukan untuk orang lain untuk diri kita sendiri. Siapa lagi hendak tolong kalau bukan diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top