Sean Paul hiburkan peminat Malaysia Oktober ini

Sean Paul hiburkan peminat Malaysia Oktober ini

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bintang antarabangsa, Sean Paul bakal menggegarkan Malaysia menerusi acara konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 10 Oktober ini.

Paul, 52, berkongsi rasa teruja untuk kembali ke Malaysia selepas kali terakhir tampil di negara ini pada 2018.

“Setiap kali berpeluang bertemu dengan peminat di seluruh dunia, ia adalah satu nikmat. Saya tidak sabar untuk kembali ke Malaysia. Sokongan dan tenaga daripada peminat Malaysia memang luar biasa.

“Saya paling bersemangat ingin menyampaikan single terbaharu, Ginger secara langsung. Lagu ni punya aura, dan saya yakin penonton akan menikmatinya,” katanya.

Penganjur dari Epic Elation berkata, pihaknya menjanjikan satu acara konsert yang menyajikan pengalaman berbeza buat peminat bintang antarabangsa itu.

“Kami amat teruja untuk membawa Sean Paul kembali bertemu peminat di Malaysia pada Oktober ini. Konsert ini bukan sekadar persembahan, ia adalah satu sambutan muzik, budaya dan hubungan sejagat.

“Dengan kerjasama rakan-rakan strategik, kami komited untuk mempersembahkan pengalaman hiburan secara langsung yang luar biasa,” katanya.

Konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025 juga turut mendapat sokongan daripada Sound Innovations, Spike Productions dan LFG Entertainment.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top