bisnes@metro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor International F&B Expo (SIE F&B) 2025 yang akan berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disasarkan untuk memperoleh nilai potensi transaksi berjumlah RM350 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor Berhad), Datuk Hasan Azhari Idris berkata, beliau optimis pameran tersebut dapat memperoleh jumlah transaksi itu berdasarkan SIE F&B 2024 pada tahun lalu yang memperoleh nilai transaksi berpotensi sebanyak RM300.41 juta.
“Program ini bukanlah bersifat untuk menjana keuntungan, tetapi lebih kepada pembangunan industri itu sendiri dimana kita menyediakan platform untuk syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk meluaskan rangkaian dan pasaran mereka.
“Kita mengharapkan pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara untuk melabur serta berminat memasarkan produk makanan daripada syarikat PKS yang menyertai SIE F&B 2025 pada kali ini,” katanya dalam satu sesi temu bual dengan Harian Metro, baru-baru ini.
Menurutnya, keistimewaan ekspo kali ini adalah mengambil pendekatan lebih strategik dan berimpak tinggi melalui pengenalan aplikasi padanan perniagaan pintar ‘SIE F&B Bizmatch’.
Kata Hasan Azhari, aplikasi tersebut akan memudahkan padanan antara pempamer dan pembeli secara lebih tepat, efisien dan tersasar, berdasarkan profil, minat serta objektif perniagaan masing-masing.
“Tambahan pula, ramai pembeli antarabangsa dalam sektor F&B yang dijemput juga datang dari negara Asia Tenggara (ASEAN), sekali gus menekankan peranan penting ekspo ini dalam mempromosikan pasaran serantau sebagai destinasi utama.
“Dengan penglibatan peserta antarabangsa, program ini membuka peluang pelaburan baharu dalam sektor makanan dan minuman (F&B), sekali gus menggalakkan kemasukan teknologi, kepakaran, dan modal asing ke Selangor,” tambahnya lagi.
Hasan Azhari berkata, beberapa Key Opinion Leaders (KOLs) akan dibawa untuk mempromosikan pempamer mikro, kecil dan sederhana yang terlibat dalam SIE F&B 2025, dengan KOLs akan membuat promosi kepada umum sebelum berlangsungnya ekspo berkenaan.
Disamping itu, demonstrasi masakan bersama chef selebriti akan diteruskan di tapak pameran bagi memperkenalkan produk-produk yang terlibat di dalam SIE F&B 2025 ini.
“Dengan infrastruktur logistik yang mantap, tenaga kerja mahir, dan dasar mesra perniagaan, penganjuran SIE F&B menonjolkan Selangor sebagai destinasi utama pelabur dan pengeksport dalam industri F&B,” ujarnya lagi.
SIE F&B 2024 lalu disertai 387 buah syarikat makanan dari dalam dan luar negara dengan kehadiran 24,492 pelawat yang datang dari pelusuk seluruh Malaysia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung ekspo kali ini boleh melayari laman sesawang https://selangorsummit.com/event-components/selangor-international-expo-fb/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




