'Kami harap ada keajaiban untuk Ija'

'Kami harap ada keajaiban untuk Ija'

am@hmetro.com.my

Muar: Keluarga kepada Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang hilang selepas kereta dinaiki terjunam dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, Isnin lalu, mengharapkan keajaiban selepas lelaki itu yang masih belum dijumpai.

Walaupun belum ada petunjuk mengenai kedudukan sebenar Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali dengan Ija, mereka bersedia untuk menerima ketentuan andainya ada sesuatu berlaku ke atasnya.

Norzila Yunus, 40, yang juga sepupu Ija sentiasa berdoa supaya ditemukan secepat mungkin selepas insiden itu kini memasuki hari keempat.

“Kalau dia dijumpai kami harap dia masih hidup, namun jika berlaku sebaliknya, kami terima apa jua sekali asalkan ada jasadnya.

“Terlalu sukar bagi kami untuk membuat andaian kerana kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Macam-macam andaian timbul pada saat ini yang mana kami sendiri pun tidak tahu.

“Kami hanya menunggu perkembangan semasa daripada polis. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian.

Dalam pada itu, Norzila berkata, usaha mencari Ija turut dibantu kenalan rapat yang sanggup datang dari jauh termasuk Johor Bahru.

“Sejak insiden itu, rakannya mencari merata tempat supaya Ija ditemukan segera. Namun, sehingga kini belum ada petanda.

“Kita tidak tahu Ija masih hidup atau sudah tiada. Jadi, kami mengingatkan supaya pihak luar tidak membuat sebarang spekulasi.

“Kita doakan yang baik-baik untuk Ija. Moga Allah memberi petunjuk lokasi di mana dia berada pada ketika ini,” katanya.

Norzila juga memberitahu ahli keluarganya turut melakukan ikhtiar lain termasuk solat hajat supaya semua urusan dipermudahkan.

Sementara itu, lokasi penemuan kereta dipandu Ija menjadi tumpuan kenalan dan penduduk kampung bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai nasib lelaki itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top