am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib yang keluar daripada BERSATU dan kembali menyertai UMNO awal bulan ini diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-18.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN Bagi PRN Johor yang diadakan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.
Pemilihan beliau mengejutkan ramai pihak susulan baharu kembali menyertai UMNO tidak sampai sebulan selepas meninggalkan parti itu.
Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 atas tiket BN-UMNO.
Bagaimanapun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor lain meninggalkan UMNO dan menyertai BERSATU.
Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional-BERSATU dalam pertandingan lima penjuru.
Alwiyah kemudian dilantik sebagai ketua Bersatu Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.
Bagaimanpun, pada 4 Jun lalu, Alwiyah mengumumkan keluar BERSATU dan menyertai semula UMNO selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN Endau.
Alwiyah berkata, keputusan tersebut yang turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam BERSATU dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




