Rasuah, minta komisen halang usaha ubah negara jadi lebih baik – Anwar

Rasuah, minta komisen halang usaha ubah negara jadi lebih baik – Anwar

ALOR GAJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui usaha membawa perubahan dan reformasi dalam negara berdepan cabaran besar susulan wujudnya penentangan daripada pihak yang sudah lama selesa dengan amalan lama termasuk rasuah dan kutipan komisen.

Beliau berkata, keadaan itu merupakan antara bentuk resistance to change atau bantahan terhadap perubahan yang sering berlaku apabila kerajaan mengambil langkah memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan membanteras salah guna kuasa.

“Bila kita ambil tindakan terhadap rasuah, ada yang mengamuk. Bila kita mahu membersihkan negara, ada yang membantah.

“Apabila kita minta orang bekerja dengan lebih baik atau melantik ketua jabatan yang lebih cekap, ada pula yang kena ‘sailang’. ini yang disebut resistance to change,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREATE) di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar berkata, tanggapan bahawa penentangan terhadap perubahan hanya berlaku dalam kalangan masyarakat luar bandar atau mereka yang kurang mendapat pendidikan adalah tidak tepat.

Sebaliknya katanya, bantahan turut datang daripada kelompok tertentu yang sudah terbiasa dengan budaya lama termasuk amalan rasuah dan penerimaan komisen.

“Ada yang sudah biasa dengan kedudukan dan kuasa, malah terbiasa dengan amalan rasuah serta komisen. Apabila kita mahu melakukan perubahan, sudah tentu akan ada tentangan,” katanya.

Katanya, kerajaan sedang berusaha memupuk kesediaan rakyat dan penjawat awam untuk menerima pembaharuan termasuk penguasaan teknologi baharu, peningkatan kemahiran bahasa serta pelaksanaan reformasi pentadbiran.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan terhadap barisan kepimpinan dan penjawat awam yang telah membantu menjayakan pelbagai dasar kerajaan.

“Cabaran ketika ini adalah memastikan pentadbiran negara terus cekap dan berkesan meskipun berdepan pelbagai kritikan serta tentangan.

“Kita perlu terus fokus mengurus negara dengan baik dan memastikan usaha reformasi yang dilaksanakan dapat mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

 

 

Scroll to Top