am@hmetro.com.my
Seremban: Wanita orang kurang upaya (OKU) didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memijak kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kelmarin
Hakim Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Norwinna Ahmad Norwi, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Norwinna didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki dengan memijak mangsa pada bahagian muka dan kaki di kedai runcit di Mantin, Nilai pada 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fidha Misjedi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang merayu hukuman rendah mengambil kira tertuduh tiada sumber pendapatan, belum berkahwin dan seorang OKU masalah mental.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




