
Sebanyak 121 tangkapan direkodkan membabitkan penyokong Manchester United sepanjang musim 2024-25.
PEMINATÂ Manchester United mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi berbanding penyokong kelab lain di England dan Wales pada musim lalu, menurut data terbaharu yang didedahkan pada Jumaat.
Data yang diterbitkan oleh Pejabat Dalam Negeri United Kingdom (UK) menunjukkan bahawa penyokong United mencatatkan jumlah tangkapan berkaitan bola sepak paling tinggi dengan 121 tangkapan sepanjang musim 2024–2025.
Jumlah itu mengatasi seteru setempat, Manchester City dengan 94 tangkapan dan West Ham United (77 tangkapan).
Sebanyak 49 peratus daripada tangkapan melibatkan penyokong United berlaku ketika perlawanan di tempat sendiri, dengan 34 kes berkaitan kekacauan awam atau keganasan.
Sebelum ini, West Ham memegang rekod jumlah tangkapan tertinggi dalam tiga musim berturut-turut.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan bola sepak menurun sebanyak 11 peratus kepada 1,932 kes berbanding musim 2023–2024, sekali gus menjadi penurunan pertama sejak penyokong dibenarkan kembali ke stadium selepas pandemik Covid-19.
Jenis kesalahan paling lazim ialah gangguan awam (32 peratus), manakala tangkapan kerana memiliki dadah Kelas A mencatatkan peratusan tertinggi sejak ia disenaraikan sebagai kesalahan Jadual 1 pada November 2022 meningkat kepada 19 peratus berbanding sembilan peratus pada musim 2022–2023.
Dalam pada itu, sehingga 1 Jun 2025, sebanyak 2,439 larangan stadium sedang berkuat kuasa, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding musim sebelumnya dan jumlah tertinggi sejak akhir musim 2012–2013.
Larangan ini menghalang individu daripada menghadiri perlawanan bola sepak di UK dan mereka yang tertakluk kepada larangan juga diarahkan menyerahkan pasport kepada pihak polis sebelum perlawanan atau kejohanan di luar negara.