Tanah Haram tempat paling mustajab berdoa

Tanah Haram tempat paling mustajab berdoa

DI SEBALIK kepadatan jemaah yang tidak pernah putus dan kemegahan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia, tersimpan satu hakikat yang menggetarkan jiwa iaitu Tanah Haram adalah tempat paling mustajab untuk menadah tangan dan memohon doa kepada ALLAH SWT.

Di sinilah air mata tertumpah dalam keinsafan dan di sinilah jua jutaan permintaan umat Islam dipanjatkan dengan penuh pengharapan.

Bukan sekadar lokasi khusus untuk beribadah, bahkan langit Makkah dan Madinah terbuka luas untuk doa-doa yang tulus dari hati yang ikhlas.

Tidak hairanlah ramai yang kembali dari Tanah Suci dengan kisah-kisah luar biasa tentang doa yang dimakbulkan, seolah-olah menjadi saksi kepada janji ALLAH bahawa tempat ini sememangnya istimewa.

USTAZ MOHD SYAHID

USTAZ MOHD SYAHID

Mengulas mengenai Tanah Suci sebagai tempat mustajab doa, pendakwah Ustaz Mohd Syahid Mohd Zaini menjelaskan, Tanah Suci atau Tanah Haram merujuk kepada kawasan suci di Makkah dan Madinah, khususnya sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kawasan ini mulia kerana di sinilah tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan tempat turunnya wahyu kepada Baginda selain menjadi pusat ibadah utama umat Islam,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Tempat tidak ditolak doa

Mengapa doa di Tanah Suci lebih mustajab? Beliau menyatakan bahawa ia dijelaskan Nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadis: “Antara tempat yang tidak ditolak doa ialah ketika berada di Masjidil Haram.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas RA berkata: ‘Tidak ada seorang pun yang berdoa di Multazam melainkan ALLAH akan kabulkan.’

“Multazam merujuk kepada tempat antara hajarulaswad dan pintu Kaabah. Selain itu, antara lain kawasan mustajab doa termasuk di hadapan Kaabah, belakang Makam Ibrahim dan Hijir Ismail.

“Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i juga merupakan waktu mustajab doa di samping ketika berada di Raudhah, Masjid Nabawi di Madinah dan ketika wukuf di Arafah pada musim haji,” jelasnya.

Tambahnya lagi, antara waktu yang afdal untuk berdoa di Tanah Suci:

1 – Waktu antara azan dan iqamah.

2 – Ketika sujud dalam solat.

3 – Selepas solat fardu.

4 – Ketika hujan turun.

5 – Waktu tengah malam (sepertiga malam terakhir).

MULTAZAM, hadapan Kaabah, belakang Makam Ibrahim dan Hijir Ismail antara tempat mustajab doa. Foto Canva

MULTAZAM, hadapan Kaabah, belakang Makam Ibrahim dan Hijir Ismail antara tempat mustajab doa. Foto Canva

6 – Hari Jumaat terutamanya selepas Asar hingga Maghrib.

7 – Ketika sedang tawaf.

8 – Ketika minum air zamzam.

9 – Ketika wukuf di Arafah pada musim haji.

Berdoa merujuk buku atau dari hati?

Kepada satu soalan, Ustaz Mohd Syahid menjawab, berdoa dengan merujuk kepada buku yang telah disusun mengikut ajaran Rasulullah lebih afdal memandangkan ia diajar sendiri oleh Baginda.

“Bagaimanapun, doa yang datang dari hati sendiri dengan sifat khusyuk dan ikhlas juga sangat bernilai di sisi ALLAH, terutamanya apabila kita tidak menghafal doa dalam bahasa Arab.

“Rasulullah SAW juga ada berdoa dengan doa yang umum seperti ‘Ya ALLAH, ampunilah aku, rahmatilah aku, berilah hidayah kepadaku, sihatkanlah aku dan berilah aku rezeki’ sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim,” jelasnya.

Ujarnya, bukanlah bermakna berdoa selain di Tanah Suci tidak dimakbulkan, namun di sana terdapat kemuliaan khas buatnya.

“Gunalah peluang berada di Makkah dan Madinah untuk berdoa sebanyak mungkin dengan hati yang ikhlas dan khusyuk.

“Jika diteliti, di Tanah Suci ini adalah tempat yang mulia. Jika digabungkan tempat yang mustajab doa dan waktu yang afdal untuk berdoa selain hati yang ikhlas serta khusyuk, maka doa tersebut akan lebih mustajab,” hurainya.

BERDOALAH dengan hati yang tulus ikhlas terutamanya ketika berada di Tanah Suci. Foto Canva

BERDOALAH dengan hati yang tulus ikhlas terutamanya ketika berada di Tanah Suci. Foto Canva

Adab berdoa

– Niat khlas kerana ALLAH.

– Berada dalam keadaan suci, pakai pakaian bersih dan menutup aurat.

– Menghadap kiblat.

– Mengangkat tangan dengan penuh pengharapan.

– Berdoa penuh khusyuk dan tawaduk.

– Mulakan dengan pujian kepada ALLAH dan selawat.

– Ulangi doa tiga kali.

– Pilih waktu mustajab seperti antara azan dan iqamah, waktu sujud dalam solat, sepertiga malam, hari Jumaat dan ketika melihat Kaabah.

– Gunakan doa-doa yang diajar dalam al-Quran dan sunnah.

– Jangan terburu-buru mahu doa dimakbulkan.

– Doa dengan suara sederhana. Berdoa bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata.

Scroll to Top