Washington: Ribuan veteran tentera, anggota tentera yang masih berkhidmat, anggota pasukan kecemasan dan keluarga mereka akan berpeluang menyaksikan aksi Piala Dunia 2026 secara percuma hasil sumbangan tiket bernilai AS$2.25 juta (RM9.5 juta).
Sumbangan itu disediakan oleh Bank of America dengan kerjasama Vet Tix yang membabitkan sebanyak 4,547 tiket untuk perlawanan di kesemua 11 venue di Amerika Syarikat (AS) sepanjang kejohanan dari 12 Jun hingga 19 Julai.
Tiket yang disumbangkan merangkumi semua peringkat pertandingan termasuk aksi separuh akhir dan final.
Separuh akhir pertama akan berlangsung di Arlington pada 14 Julai, manakala separuh akhir kedua dijadualkan di Atlanta sehari kemudian.
Perlawanan akhir pula akan diadakan di East Rutherford pada 19 Julai.
Ketua Dasar Awam Global Bank of America, Larry Di Rita berkata, sumbangan itu dibuat bagi menghargai jasa golongan yang berkhidmat kepada negara.
“Kami mahu memastikan anggota tentera, pasukan kecemasan dan keluarga mereka berpeluang meraikan acara sukan terbesar dunia ketika AS menyambut ulang tahun ke-250 negara itu,” katanya.
Sebagai simbolik sambutan ulang tahun berkenaan, sebanyak 250 tiket khas diperuntukkan untuk perlawanan membabitkan AS.
AS akan membuka kempen Kumpulan D menentang Paraguay di Los Angeles pada 12 Jun sebelum bertemu Australia di Seattle pada 19 Jun dan Turkiye di Los Angeles pada 25 Jun.
Dalam format baharu Piala Dunia yang membabitkan 48 pasukan, dua pasukan teratas setiap kumpulan serta lapan pasukan tempat ketiga terbaik akan mara ke pusingan kalah mati.
Vet Tix dijangka mula mengagihkan tiket berkenaan kepada penerima yang layak minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




