Simpan hasrat

Simpan hasrat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

DUA beradik Maembong yang aktif berlakon iaitu Chacha, 29, dan Emma, 33, begitu menarik perhatian ramai dengan kisah peribadi, termasuk mutu lakonan masing-masing turut dipuji.

Sama ada Chacha mahupun Emma, mereka sudah berjaya membuktikan kemampuan bakat lakonan dalam membawa watak baik, wanita teraniaya dan watak jahat yang dibenci.

Bertemu anak bongsu dalam keluarga Maembong itu baru-baru ini, Chacha yang ditanya mengenai keinginannya untuk berlakon di samping kakak sendiri berkata, hasrat itu sudah ada lama.

“Sebenarnya saya memang nak sangat berlakon dengan Emma. Tapi tak tahulah, kenapa kami tak pernah dapat ‘scene’ bersama dan tak pernah ditawarkan oleh produksi. Cuma, kalau ada babak yang ramai berkumpul, pernahlah kami buat.

“Namun, untuk kami berlakon berdua dalam satu karya (drama), tidak pernah dapat lagi. Saya tahu Emma juga ada mempunyai hasrat itu,” katanya.

Menurut Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, dia sangat kagum dengan bakat lakonan Emma yang disifatkan sangat bagus dan benar-benar dapat menjiwai setiap watak dibawanya.

Ditanya perasaan apabila impian ingin berlakon dengan kakaknya itu belum jadi kenyataan, Chacha memberitahu dia percaya belum ada rezeki mereka lagi.

“Rasa sedih dan kecewa tak ada. Sebab, saya percaya pada rezeki. Bagi saya, buat masa ini Allah belum makbulkan lagi untuk saya berlakon dengan Emma. Tapi, perancangan Tuhan ke depannya, kita tak tahu.

“Kalau ada rezeki (berlakon dengan Emma), Alhamdulillah. Dalam soal ini, kita doa yang baik-baik dan pada masa sama, laksanakan tanggungjawab kerja dengan komited,” katanya.

Sudah 13 tahun membina karier seni lakon sejak 2012 lalu, Chacha tidak menafikan bahawa pada masa sekarang begitu ramai pelakon baharu yang muncul untuk mencuba nasib dalam industri.

“Alhamdulillah, saya tidak terkesan pun dengan kehadiran bakat baharu seni lakon tempatan. Ini kerana, masih ramai pengarah mempercayai bakat dan kemampuan saya dengan pelbagai watak.

“Penting bagi saya apabila masih dipanggil berlakon daripada pihak stesen TV, penerbit dan pengarah yang ingat dan percaya dengan lakonan saya. Dah masuk 2025, sudah tentu banyak watak yang saya pernah lakonkan,” katanya.

Chacha berkata, rezeki masing-masing juga kerana kadang-kadang ada penonton yang tidak mahu tengok muka sama dalam televisyen dan inginkan kemunculan bakat baharu.

Menerusi drama Mandul Bukan Pilihan arahan Osman Ali yang disiarkan Astro Ria memberi peluang Chacha melakonkan watak Alma iaitu seorang kakak tegas dan sering pertahankan keluarga.

Tak layan pelakon sombong

Bersikap mesra dan ramah, Chacha tidak menafikan dia sentiasa memastikan kehadirannya di set penggambaran dan di mana saja berada akan disenangi orang sekeliling.

Begitu juga apabila bekerja dengan bakat baharu yang pelbagai perangai. Ada antara mereka yang mudah mesra dan ada juga yang kelihatan sombong serta gemar menyendiri.

“Saya sebenarnya tidak ambil peduli pun sekiranya berhadapan dengan pelakon baharu yang bersikap sombong dan suka buat hal sendiri. Itu adalah pilihan dia dan buat apa nak layan

“Jadi, saya hanya akan beri perhatian kepada individu yang ingin belajar.

Apatah lagi, selama saya berlakon sudah bermacam yang saya hadap dan kita hormati sahajalah cara orang lain.

“Bagaimanapun, kalau ketika kita sibuk baca dialog dan tiba-tiba ada pelakon baharu yang tidak pandai nak memahami wataknya, saya sedia bantu dan beri mereka tunjuk ajar,” katanya.

Menurut Chacha, dia sama sekali tidak lokek berkongsi ilmu asalkan mereka mahu belajar dan ingin memperbaiki mutu lakonan ke arah lebih baik untuk masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top