Peminat G-Dragon 'berkampung' di Axiata Arena sejak petang semalam

Peminat G-Dragon 'berkampung' di Axiata Arena sejak petang semalam

Kuala Lumpur: Peminat tegar Raja K-Pop, G-Dragon sudah ‘berkampung’ dan menunggu di luar Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, sejak semalam untuk konsertnya Ubermensch 2025 World Tour, hari ini dan esok.

Seperti dijangka, kegilaan terhadapnya memang fenomena apabila ada peminat yang sudah mula beratur seawal jam 4 petang semalam, walaupun pintu masuk konsert hanya dibuka pada 5 petang hari ini.

Menerusi perkongsian yang tular di platform Threads, terdapat beberapa individu sudah pun menunggu setia di luar pekarangan stadium dengan membawa kerusi dan tikar sebagai alas untuk duduk di lantai.

“Wow Malaysian VIP/FAM sangat gila. MD Booth buka pukul 9 pagi Sabtu dan mereka sudah mula beratur sejak Jumaat, pukul 4 ke 5 petang? What?” demikian hantaran itu.

Difahamkan, kelompok peminat terbabit adalah pembeli tiket kategori VVIP dan VIP Freestanding yang mana mereka sanggup berbuat demikian demi memilih tempat paling hampir dengan pentas.

Justeru, tidak hairan jika mereka sanggup bermalam di luar stadium demi mendapat posisi terbaik dan paling dekat dengan penyanyi idola mereka.

G‑Dragon dijangka akan menyampaikan lagu-lagu dari album terbaru Ubermensch, selain seleksi hits ikonik seperti Crooked, Home Sweet Home, dan Untitled, 2014.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top