Jefrisyafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli politik popular, Syed Saddiq masih lagi dengan pendirian untuk menyerahkan 100 peratus bayaran daripada kontrak sebagai model atau wajah kempen diterimanya kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.
Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 32, yang kini dilantik sebagai wajah kempen produk pelindung matahari Wawa Global Sdn Bhd berkata, dia akan terus berbakti kepada penduduk Muar.
“Setiap satu sen yang diperoleh (daripada bayaran diterima) akan disalurkan kepada kebajikan khususnya buat membantu rakyat Muar sendiri.
“Apapun, sedikit sebanyak saya memang lakukan perkara ini dengan niat yang jelas iaitu untuk kebajikan. Itu adalah fokus utama saya,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun sekiranya kontrak atau perjanjian itu melalui agensi, maka ada beberapa proses lain yang perlu dilalui. “Bukan berapa peratus, tetapi 100 peratus. Apa yang saya buat selalunya, saya akan perincikan kemudian. Cuma kadang-kadang, saya beri contoh ada satu jenama yang tidak membenarkan perkara ini kerana ia melalui beberapa agensi.
“Mereka kata tak boleh umumkan, tetapi mereka benarkan kita maklumkan jenis bantuan yang disampaikan itu,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia pernah menolak tawaran yang dirasakan tidak bersesuaian, Saddiq tidak menafikannya dan sentiasa menitikberatkan beberapa perkara.
“Ada. Malah, banyak juga. Sebab kita perlu ambil kira soal kesesuaian. Dalam hal ini, saya boleh kongsikan bahawa sesetengah jenama itu memang sesuai. Ia sangat serasi dengan identiti rakyat Malaysia yang berjaya.
“Itu adalah jenama yang saya rasa berpatutan dan produknya juga mudah untuk saya pasarkan, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri memang seorang yang suka bersukan,” ujarnya.
Selain itu, katanya jika tawaran yang diterima dengan nilai lumayan, namun tiada kualiti akan tetap ditolak. “Banyak juga tawaran seperti itu yang saya tolak atas sebab-sebab tertentu kerana saya percaya bahawa kita semua kena menjaga imej masing-masing.
“Saya sendiri seorang penggubal dasar. Maka, sebagai penggubal dasar, satu keutamaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu,” jelasnya.
Terdahulu, Saddiq ditemui hadir pada majlis pelancaran produk baharu Wawa Global Kosmetik New Chapter yang diadakan di ibu kota, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd