mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis melumpuhkan kegiatan perjudian sabung ayam baka dari Filipina selepas menyerbu tempat penyimpanan ayam sabung itu di Tawau, Sabah, membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM3 juta kelmarin.
Serbuan dijalankan jam 2.30 petang menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman.
Pengarah JKNDKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu turut membabitkan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, BN 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau serta pasukan pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau, Sabah.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di Kampung Apas Parit, Jalan Apas Parit, polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan dua warga Filipina berusia 31 hingga 52 tahun, selain merampas 470 ayam sabung masih hidup baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 130 kotak mengandungi pelbagai vitamin, 50 botol pelbagai vitamin dan 500 sangkar serta reban ayam sabung.
“Dalam serbuan kedua di Kampung Membalua Off Jalan Apas, polis menahan lelaki tempatan berusia 57 tahun dan merampas 152 ayam sabung masih hidup baka dipercayai dari Filipina.
“Nilai keseluruhan rampasan (serbuan pertama dan kedua) dianggarkan RM3,287,708. Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan membabitkan perjudian sabung ayam di Sabah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,
Dalam pada itu, Azmi berkata, secara keseluruhan, bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 Julai lalu, WCB/PSK Jabatan JKNDKA Bukit Aman berjaya melancarkan sebanyak 173 serbuan di seluruh negara dan seramai 306 orang berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Keseluruhan nilai rampasan WCB/PSK, JKNDKA bagi tempoh yang dinyatakan dianggarkan berjumlah RM544,737,877.61.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd