Kuala Lumpur: Bermula sebagai pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba di Melaka, Muhammad Aaqif Dino Faezal bakal membuka lembaran baharu di Imperial College London, United Kingdom, perjalanan pendidikan yang disifatkannya tercipta hasil peluang yang diberikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Anak muda berusia 19 tahun itu yang dinobatkan sebagai Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 pada 20 Ogos lepas berkata sokongan MARA telah membuka ruang yang mungkin sukar dicapai, terutama dalam membolehkannya mengikuti pengajian bertaraf antarabangsa di Kolej MARA Banting (KMB).
Anak kedua daripada tiga beradik itu yang menerima penajaan Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) MARA untuk mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) di KMB dari 2024 hingga Mei 2026 berkata peluang berkenaan menjadi antara titik penting dalam perjalanan pendidikannya.
“Secara realistik, saya tidak mampu untuk membiayai sendiri kos pengajian dan kehidupan di luar negara yang sememangnya tinggi.
“Jadi, peluang yang diberikan oleh MARA bukan sahaja membuka ruang untuk saya mengejar cita-cita, sebaliknya turut menangani satu daripada kekangan terbesar yang mungkin saya hadapi,” katanya kepada Bernama.
Hasil usaha gigihnya dan sokongan pendidikan disediakan MARA, Muhammad Aaqif bakal mengikuti pengajian dalam bidang Geologi di Imperial College London pada September ini dan berhasrat menggunakan pengalaman serta kepakaran yang diperoleh untuk kembali menyumbang kepada Malaysia, khususnya dalam sektor minyak, gas dan tenaga.
Sewaktu di KMB, beliau menerima Anugerah Graduan Terbaik KMB dan Anugerah Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 selain turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kokurikulum sempena Hari Anugerah Inspirasi Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA.
Penerima Anugerah Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 dipilih daripada kalangan penerima Anugerah Graduan Terbaik berdasarkan pencapaian akademik yang unggul, ciri kepimpinan yang cemerlang, sumbangan kepada masyarakat serta potensi sebagai ikon graduan MARA.
Bagi Muhammad Aaqif, pengiktirafan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya penghargaan kepada keluarga, guru, rakan-rakan, KMB dan MARA yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikannya.
“Saya amat terharu apabila menerima anugerah tersebut kerana ia membuatkan saya mengenang semula segala cabaran, pengorbanan dan sokongan yang saya terima,” kata anak jati Selangor itu.
Di KMB, Muhammad Aaqif bukan sahaja memberi tumpuan kepada akademik, malah aktif dalam kepimpinan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), selain menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan.
Beliau berkata pengalaman itu membentuk keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan keupayaan mengurus masa, yang akhirnya membantu menyediakan dirinya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah KMB Arfaseela Amiruddin berkata kejayaan Muhammad Aaqif mencerminkan kecemerlangan holistik yang ingin diterapkan dalam kalangan pelajar MARA, apabila beliau bukan sahaja mencatat keputusan 44 daripada 45 mata dalam peperiksaan IBDP pada Mei lepas malah menyerlah dalam kepimpinan dan kokurikulum.
“Beliau bukan sekadar memimpin, malah berupaya membangunkan semangat berasaskan kerjasama serta menjadi perantara yang berkesan antara pihak pengurusan dan pelajar.
“Perkembangan ini mencerminkan aspirasi KMB dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja pintar secara intelektual, tetapi juga berkeperibadian unggul,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

