Hospital pertama Mara akan ditubuhkan

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah menggerakkan pasukan khas bagi merealisasikan agenda penubuhan Hospital Mara yang bakal menjadi hospital pengajar, pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi bumiputera.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara mempunyai ekosistem lengkap untuk membangunkan sebuah hospital menerusi rangkaian 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi dan UniDental, selain Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang melahirkan doktor dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang melatih jururawat.

Katanya, sudah tiba masanya Mara menubuhkan hospital pertamanya selepas enam dekad melahirkan profesional kesihatan bumiputera.

“Pasukan khas menggerakkan agenda penubuhan Hospital Mara sudah dimulakan. Mara punya ekosistem lengkap untuk sebuah hospital dengan 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi, UniDental, UniKL RCMP lahirkan doktor, KPTM latih jururawat.

“Sudah tiba masanya untuk Mara menubuhkan sebuah Hospital Mara yang pertama, bukan sahaja dibangunkan sebagai hospital pengajar tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, antara rasional penubuhan Hospital Mara adalah ekosistem pendidikan yang besar termasuk UniKL RCMP yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi serta program berkaitan.

Katanya, latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar merupakan sebahagian daripada keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP.

“Mara sebenarnya sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan, pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta teknologi melalui Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) (kini TVETMara) termasuk Lenggong dan Ledang, jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.

“Kekuatan Mara ialah kita bukan hanya mempunyai institusi perubatan. Kita juga mempunyai TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri. Sebuah hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu,” katanya.

Beliau berkata, program Biomedical Science UniKL MESTECH dan disiplin teknologi di pelbagai kampus UniKL juga boleh disepadukan dalam Hospital Mara.

Katanya, kelebihan Mara ialah mempunyai pendidikan perubatan dan pada masa sama pendidikan kejuruteraan serta teknologi yang berkaitan dengan bidang perubatan.

“Hospital Mara juga boleh berfungsi sebagai living laboratory untuk pelajar dan penyelidik Mara,” katanya. – UTUSAN 

Scroll to Top