LATEST

Pengadil tak adil? Shahidan Kasim santuni atlet lumba jalan kaki, titip kata semangat

Pengadil tak adil? Shahidan Kasim santuni atlet lumba jalan kaki, titip kata semangat

Susulan isu pengadilan acara lumba jalan kaki yang mencetuskan perhatian ramai baru-baru ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim tampil menyantuni atlet terbabit, Wafiyyatulhusna Redza.

Menerusi perkongsiannya, Shahidan menitipkan kata-kata semangat kepada Wafiyyatulhusna agar tidak berputus asa dalam meneruskan perjuangannya dalam dunia sukan olahraga.

Baca juga: Kebajikan warga TUDM terus jadi keutamaan kerajaan – PM

Beliau turut berharap pengalaman dilalui atlet berkenaan dapat dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang sukan diceburinya.

“Saya mendoakan agar adik Wafiyyatulhusna Redza terus kuat, tidak berputus asa dan jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia sukan olahraga,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan memaklumkan akan membawa usul di Dewan Rakyat bagi membangkitkan soal kesiapsiagaan teknikal, pengadilan serta pengurusan kejohanan sukan di negara ini menjelang penganjuran Sukan SEA 2027.

“Dalam masa yang sama, saya akan membawa usul di Dewan Rakyat berhubung tahap kesiapsiagaan teknikal, pengadilan dan pengurusan kejohanan bagi semua jenis sukan di Malaysia, bukan sahaja olahraga, menjelang penganjuran Sukan SEA 2027,”katanya.

Menurut Shahidan, setiap atlet sewajarnya diberikan peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan masing-masing tanpa terjejas akibat kelemahan dalam pengendalian sesebuah pertandingan.

“Kita mahu setiap atlet diberikan peluang yang adil. Kemenangan biarlah ditentukan oleh kemampuan dan prestasi, bukannya kelemahan dalam aspek teknikal, pengadilan mahupun pengurusan pertandingan,” ujarnya.

Terdahulu, isu pengadilan acara lumba jalan kaki mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat selepas rakaman pertandingan berkenaan tular di media sosial, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan teknik serta peraturan acara tersebut.

Sumber: FB Shahidan Kassim

Latest news